Tuesday, 26 March 2013

Pahlawan Syurga: Usaid akhiri pertelingkahan Ansar, Muhajirin

2013/03/25 - 08:18:06 AM

Selepas Rasulullah SAW wafat, terdapat segolongan kaum Ansar yang diketuai Sa’ad bin Ubadah, mengumumkan mereka lebih berhak memegang tampuk khalifah daripada Muhajirin kerana kaum Ansar yang membantu Rasulullah SAW pada awal kehadiran baginda di Madinah dulu.

Oleh itu, mereka merasa lebih layak. Ungkapan itu tentu saja mengundang reaksi daripada kaum Muhajirin. Apa lagi kaum Muslimin ketika itu sedang berkabung tetapi perdebatan tetap tidak dapat dielakkan.

Ketika keadaan semakin panas, salah seorang pemimpin kalangan Ansar, Usaid bin Hudhair tampil meredakan suasana. Katanya, “Bukankah tuan-tuan mengetahui Rasulullah SAW adalah daripada golongan Muhajirin? Oleh sebab itu jawatan khalifah sewajarnya daripada golongan Muhajirin. Dan kita ialah pembela Rasulullah maka kewajipan kita sekarang ialah membela khalifahnya!”

Kata-kata Usaid mengakhiri pertelingkahan yang hampir memecah-belahkan persaudaraan itu. Usaid ialah pemimpin suku Aus, kabilah dari Yaman yang berpindah ke Madinah bersama saudaranya suku Khazraj.
Sebelum kehadiran Islam, walaupun bersaudara, kedua-dua suku itu selalu terbabit dalam pertelingkahan. Namun pada masa lain mereka tetap bersama menghadapi musuh.

Ketika Mush’ab bin Umair diutus Rasulullah ke Madinah untuk membina kumpulan Ansar yang telah berbaiah kepada nabi di Baitul Aqabah yang pertama, khabar kedatangannya sampai ke telinga Usaid.

Sahabatnya, Sa’ad bin Mu’az menemui Usaid untuk menyatakan kegusarannya mengenai perkembangan agama Islam yang dibawa Mush’ab itu. Lalu dia datang menemui Mush’ab untuk memarahinya.

Tetapi apabila terpandang wajah Mush’ab dan mendengar apa yang diperkatakan, beliau bertanya bagaimana hendak memeluk Islam lalu Mush’ab menjawab, “Mandilah dan bersihkan pakaianmu, kemudian ucapkan dua kalimah syahdah, bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad ialah Rasulullah, sesudah itu solat dua rakaat.”

Usaid sangat mencintai al-Quran. Dia bagaikan orang kehausan di padang yang panas, kemudian mendapatkan jalan menuju mata air yang sejuk. Satu malam, Usaid tergerak untuk membaca al-Quran dan mendengar bacaan beliau, tiba-tiba kuda yang ditambat berlari berpusing.

Keesokan harinya beliau berjumpa Rasulullah menceritakan perkara itu dan baginda bersabda, “Itu ialah malaikat yang ingin mendengarkan engkau membaca al-Quran.”

Usaid bin Hudhair hidup sebagai seorang ahli ibadah. Harta benda dan jiwa raga dimilikinya diserahkan sepenuhnya untuk perjuangan Islam. Baginya, puncak keindahan hidupnya apabila cahaya Islam terus bersinar.

(sumber: http://www.bharian.com.my/articles/PahlawanSyurga_UsaidakhiripertelingkahanAnsar_Muhajirin/Article/)

 

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...