Friday, 8 March 2013

Khutbah Jumaat: Wajib pertahan maruah negara: Tindakan bersepadu wajar diambil hadapi ancaman musuh

2013/03/08 - 04:33:22 AM

Tindakan bersepadu wajar diambil hadapi ancaman musuh

Berdasarkan sejarah, negara kita pernah berdepan beberapa siri ancaman keselamatan bermula dengan ancaman komunis ketika darurat dan kemunculan beberapa militan seperti kumpulan tentera sabilillah, Nasir Ismail, al-Maunah dan lain-lain lagi.

Kesemua menuntut berlakunya peperangan dan pertumpahan darah serta nyawa. Alhamdulillah, semua ancaman keselamatan itu berjaya diatasi oleh pihak pemerintah dan pasukan keselamatan negara hasil perancangan yang tepat serta strategik demi mempertahankan maruah negara.

"Firman Allah SWT: “Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Anaam, ayat 82)

Ulama bersepakat mengatakan mempertahankan negara adalah fardu kepada setiap orang Islam, manakala menderhaka dan mengkhianati negara satu dosa besar. Pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara termasuklah cubaan menjatuhkan negara dengan bersekongkol bersama musuh.

 

Wajib pertahan negara

Menurut pandangan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah: “Mempertahankan negara adalah wajib ke atas setiap Muslim.”

Hukum ini dinyatakan dengan jelas dalam kitab fiqh bahawa ia sama ada fardu kifayah atau fardu ain bergantung kepada sejauh mana ancaman dihadapi sesebuah negara itu.

Prof Dr Abdul Muin Salim dalam kitabnya Fiqh al-Siasah menjelaskan, mewujudkan suasana tidak stabil dalam sesebuah negara yang aman damai adalah haram. Sengaja mewujudkan suasana porak-peranda seterusnya mengundang mudarat kepada orang awam hukumnya adalah haram.

Dalam menangani pelbagai ancaman dihadapi negara, pendekatan bersepadu wajar dilaksanakan antaranya perlu kesedaran semua pihak tanggungjawab menjaga keselamatan.

Perlu difahami, ruang lingkup ancaman keselamatan negara amat luas dan musuh wujud di mana-mana. Justeru, tidak sepatutnya tanggungjawab ini diletakkan di bahu anggota pertahanan dan keselamatan saja tanpa didukung setiap rakyat negara ini.

Yakinlah, segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan sebahagian daripada ibadah dan tanda jihad di jalan Allah SWT. Inilah masanya, semua umat Islam bersatu demi mempertahankan kedaulatan negara dan agama selain menolak sebarang usaha cuba menghancurkan keamanan negara.

Firman Allah SWT: “Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Anaam, ayat 82)

Harus perang jaga maruah

Walaupun agama Islam mengutuk peperangan kerana menyebabkan pembunuhan sesama manusia, agama Islam mengharuskan umatnya berperang sebagai satu cara untuk mempertahankan diri demi menjaga maruah agama, bangsa dan negara sekiranya diancam.

Firman Allah SWT: “Diizinkan berperang bagi orang yang diperangi, sebab mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka.” (Surah at-Haj, ayat 39)

Mereka yang berperang di jalan Allah dianggap sebagai pahlawan Allah dan jika mereka mati pun dianggap mati syahid kerana mempertahankan kedaulatan serta maruah negara.

Muaz bin Jabal meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar memerah susu unta, maka wajib baginya mendapat pahala syurga. Dan barang siapa yang bermohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad, kemudian ia mati atau dibunuh, maka baginya balasan syahid. Dan barang siapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka ia datang pada hari akhirat sederas darah yang mengalir ketika luka warnanya seperti za’faran dan baunya bagaikan kasturi.” (Riwayat Abu Daud)

 

Rapatkan saf, erat perpaduan

Marilah kita bersama mempertahankan setiap inci tanah air kita ini daripada diceroboh pihak tidak bertanggungjawab, marilah berganding bahu, bersatu padu, merapatkan saf, menjauhi perpecahan dan mengeratkan perpaduan.

Percayalah, hanya dengan bersatu kita akan menjadi kuat dan mampu mengalahkan musuh. Sedarlah, permusuhan sesama sendiri pasti merugikan dan melemahkan kita. Marilah memperkukuhkan cinta kepada Allah dengan ikhlas berjuang menegakkan agama Allah.

Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar.

(sumber: http://www.bharian.com.my/articles/KhutbahJumaat_Wajibpertahanmaruahnegara/Article/)

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...