Tuesday, 26 March 2013

Jihad tidak terbatas: Sumbangan kepakaran demi pembangunan masyarakat juga satu pengorbanan

2013/03/25 - 08:20:07 AM Ashraf Muslim

Sumbangan kepakaran demi pembangunan masyarakat juga satu pengorbanan

Perjuangan di jalan Allah atau fisabilillah mempunyai ruang lingkup yang luas dan yang utama ialah setiap perjuangan dalam apa juga bentuk perlu diniatkan kerana Allah SWT sejajar matlamat hidup sebagai khalifah untuk beribadat kepada-Nya.

Pejuang kita yang syahid mempertahankan negara serta agama pada kejadian pencerobohan di Lahad Datu adalah contoh terdekat boleh diambil kerana perjuangan mereka adalah jelas. Persoalan sekarang ialah apa perjuangan kita?

Sudah sedia maklum bagi kita yang bukan terdiri daripada anggota keselamatan, tidak akan hadir di medan peperangan menentang musuh negara dan agama, tetapi itu bukan alasan untuk mengelak daripada terbabit dalam perjuangan atau jihad.

 

Berjuang menetapkan matlamat hidup

Khususnya kepada orang muda, di mana perjuangan kita kepada negara? Jika kehidupan dunia pun kita leka, bagaimana agaknya dengan kehidupan di akhirat. Perjuangan atau jihad tidak terbatas kepada perkataan agama dan Islam saja.

Perjuangan menetapkan matlamat hidup juga boleh termasuk dalam jihad jika antara perancangannya ialah untuk menyumbang kepada agama, bangsa serta negara. Justeru, tanyalah diri kita, apa sumbangan yang sudah atau boleh diberikan kepada agama, bangsa dan negara.

Kita boleh menjadi profesional yang berjaya tetapi kejayaan akan lebih bermakna jika kepakaran dalam bidang diceburi turut dicurahkan demi kepentingan semua. Bukankah Rasulullah SAW sudah memberitahu kita, sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat.

Daripada Jabir bin Abdullah, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” (Riwayat al-Baihaqi)

 

Faedah daripada kerja amal

Sekarang pun banyak pertubuhan bukan kerajaan yang membuat pelbagai kerja amal dan ini juga ruang untuk kita menyumbang bakti yang akan lebih bermakna apabila kebajikan dilakukan ikhlas kerana Allah SWT.

Maknanya, bukan saja diri kita mendapat faedah daripada amal kebaikan dilakukan, malah pihak yang dibantu juga mendapat manfaatnya. Dalam erti kata lain, tidak perlu menjadi polis atau tentera pun kita masih boleh berjihad.

Pembabitan saya dalam bidang rawatan Islam menggunakan ayat al-Quran adalah cabang perjuangan diharap dapat menyumbang kepada pembangunan kesihatan masyarakat. Sementara penubuhan maahad tahfiz pula adalah jihad dalam bidang pendidikan.

Kemampuan serta sokongan banyak pihak menjadikan usaha ini mencapai tahap yang ada sekarang di samping banyak lagi tugas perlu dilaksanakan secara istiqamah, tetapi inilah cabang perjuangan saya dan warga Al-Hidayah, semoga mendapat keredaan Allah.

Justeru, golongan muda sekarang perlu menetapkan perjuangan hidup kerana merekalah yang bakal mewarisi kejayaan dikecapi negara hari ini, tanpa sumbangan mereka, apa yang diusahakan tidak mampu diteruskan.

 

Sumbangan golongan muda

Hakikatnya, sumbangan golongan muda sangat penting kerana Rasulullah SAW ketika diutuskan pada usia 40 tahun untuk mengajak umatnya kepada agama kebenaran turut mendapat sokongan padu golongan muda termasuk sepupunya Ali bin Abi Talib.

Malah, selepas kewafatan baginda, sahabat yang muda meneruskan perjuangan menyebarkan syiar Islam hingga ke hari ini. Alhamdulillah, kita juga mempunyai barisan muda yang memperjuangkan agama Allah tetapi masih belum memadai.

Sebenarnya banyak cara untuk menarik minat golongan muda terbabit dalam perjuangan dan ini terbukti pada majlis Malam Cinta Rasul di Dataran Merdeka malam Sabtu lalu yang kebanyakan dihadiri golongan muda.

Maknanya, kita perlu kreatif untuk mencari kaedah sesuai bagi menggalakkan golongan muda menyumbang dalam apa juga perkara baik supaya dengan pendedahan itu akan menerapkan nilai murni dalam jiwa mereka.

Mungkin pendekatan ceramah tidak mampu menarik minat orang muda, jadi kita beralih kepada majlis seperti Malam Cinta Rasul kerana selain hiburan Islamik, pengisian kerohanian seperti solat berjemaah turut diadakan.

Secara tidak langsung mereka yang hadir tidak tertinggal melaksanakan kewajipan hakiki dan pada masa sama dapat menghayati rasa cinta kepada junjungan Nabi Muhammad melalui bacaan selawat secara beramai-ramai.

Di kesempatan ini saya ingin memaklumkan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah akan menganjurkan seminar Perubatan Al-Quran dan Rawatan Kanser pada 13 April jam 9 pagi di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Mereka yang berminat dialu-alukan dan maklumat boleh diperoleh daripada Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

(sumber: http://w1.bharian.com.my/articles/Jihadtidakterbatas/Article/)

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...