Friday, 8 March 2013

Hargai kehidupan sejahtera: Kebebasan asasi perlu dipelihara, dihormati supaya masyarakat bersatu

2013/03/07 - 10:16:53 AM Nik Salida Suhaila

Kebebasan asasi perlu dipelihara, dihormati supaya masyarakat bersatu

Tiada siapa yang menginginkan kehidupan sengsara, derita dan penuh keperitan. Tetapi ada juga harus merasainya kerana itulah yang ditakdirkan Allah SWT sebagai ujian. Kasih sayang Allah akan lebih terasa setelah Dia menghilangkan penderitaan jika kita berjaya melaluinya dengan tabah.

Bahkan kita akan lebih menghargai kehidupan. Kehidupan yang sejahtera memang diimpikan semua orang, apatah lagi sejahtera di akhirat sana yang kekal abadi. Justeru, mencari kesejahteraan hidup di dunia semata-mata adalah amat merugikan.

"Allah SWT berfirman: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan ia Maha Kuasa untuk membalas amalan kamu dan Maha Pengampun kepada orang yang bertaubat.” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Memang benar, akhirat belum tentu menjamin kesenangan semua orang kerana perhitungan Allah SWT di Padang Mahsyar adalah pasti tetapi sebagai orang Islam, kita harus mengendalikan hidup di dunia mengikut landasan syariat dengan harapan tugas di dunia membawa untung di akhirat juga.

Sejahtera merujuk kepada keadaan yang baik, di mana orangnya berada dalam kemakmuran, sihat dan aman damai. Kesejahteraan hidup penting dalam Islam sehinggakan ia menjadi ucapan kita kepada umat Islam lain hampir setiap masa dan ketika.

Lafaz salam iaitu ‘assalamualaikum’ yang bermaksud ‘salam sejahtera ke atas kamu’ ini wajib dijawab dengan doa juga iaitu ‘waalaikummussalam’ yang bermaksud ‘dan salam sejahtera juga ke atas kamu’.

Malah ada yang jauh berkirim salam melalui perantaraan tanda kasih termeterai antara umat Islam yang kukuh dan jitu. Bahkan setiap kali selepas solat pula kita berdoa: “Wahai Tuhanku, kurniakanlah aku kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan juga akhirat dan jauhkanlah aku daripada azab api neraka.”

Tanda hidup sejahtera

Dalam mencari kesejahteraan hidup, setiap manusia perlu mengetahui bahawa rasa selesa dan bahagia serta cukup dengan apa yang ada semata-mata bukanlah tanda hidup sejahtera. Sebaliknya, aspek dalaman dan luaran perlu dilengkapi sewajarnya.

Aspek dalaman yang dimaksudkan ialah kesihatan tubuh badan dan mental yang waras, manakala aspek luaran pula ialah ekonomi yang baik, sosial, iaitu kemampuan memenuhi keperluan masyarakat, bebas daripada ancaman bahaya dan jenayah.

Kebebasan asasi yang dipelihara, saling hormat, lengkap-melengkapi dan mengambil berat antara satu sama lain, alam sekitar yang kurang pencemaran alam serta kaya sumber asli.

Jadi, melihat kepada amalan ucapan dan doa untuk kehidupan sejahtera, kita melihat pentingnya kesejahteraan hidup. Sebagai umat Islam, kita bukan hanya hidup di dunia, tetapi juga di akhirat.

Allah SWT berfirman: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan ia Maha Kuasa untuk membalas amalan kamu dan Maha Pengampun kepada orang yang bertaubat.” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Oleh itu, kesejahteraan hidup hakiki ialah di akhirat kelak iaitu di syurga. Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menceritakan mengenai kesejahteraan dalam syurga bahawa ciri-ciri keadaannya kekal abadi selama-lamanya, kegembiraannya berkekalan dan tiada langsung kesedihan.

 

Orang muda huni syurga

Sebab itulah semua penghuni syurga adalah orang muda dan tiada yang tua kerana kemudaan adalah kegembiraan. Juga, tiada lagi kejahilan, kerana manusia sudah dengan pasti mengetahui yang hak setelah melalui kematian, hari kiamat dan hisab di Padang Mahsyar.

Begitu juga tiada lagi kemiskinan kerana kekayaan yang diperkenankan Allah SWT adalah petanda kehidupan sejahtera.

Allah SWT berfirman: “Tiap-tiap jiwa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat akan disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia telah beruntung. Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)

Namun, kita perlu ingat bahawa syurga itu milik Allah. Jika kita berhasrat untuk menjadi penghuni syurga, ikutlah syarat dan piawaian yang ditentukan Allah. Syarat atau piawaiannya ialah menjadikan Islam sebagai akidah.

Mengingati dan memahami Rukun Iman, menjadikan Islam sebagai syariat (menghayati Rukun Islam) serta amalkan hukum yang ditentukan oleh Allah (al-Quran) dan sunnah Rasulullah kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk manusia.

 

Hidup di dunia penuh tipu daya

Di penghujung masa yang ada ini, molek benar andai kita bertekad untuk mencari kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Mengharungi hidup di dunia yang penuh tipu daya sesungguhnya menjadikan kita sentiasa berhati-berhati kerana tidak rela menjadi si dungu yang mudah tertipu.

Umat Islam perlu jadikan ilmu sebagai perisai menghadapi tentangan hawa nafsu yang datang bersilih ganti sehingga kadangkala tidak memberi ruang untuk kita mengingati Dia. Paling penting, kita jadikan Islam sebagai akidah, syariat, ibadah dan akhlak, semoga sentiasa terpelihara di bawah lindungan-Nya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia.

(sumber: http://www.bharian.com.my/articles/Hargaikehidupansejahtera/Article/)

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...