Friday, 8 March 2013

Had toleransi selagi tidak jejas akidah

2013/03/08 - 04:13:06 AM Oleh Lokman Ismail

Toleransi mampu mewujudkan hubungan baik dengan mana-mana pihak dalam urusan membabitkan kepentingan masing-masing. Toleransi dengan penganut agama lain disandarkan kepada hubungan baik membuktikan kebenaran ajaran Islam.

Perlu difahami, toleransi tidak bermakna berdiam diri dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama, maruah diri dan keselamatan. Kita tidak boleh berlembut atau menyokong perbuatan yang membawa kepada dosa dan memesongkan akidah.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu tolong- menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Keras dalam menjatuhkan hukuman.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Mentafsir ayat ini, Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk tolong-menolong dalam kebaikan, meninggalkan kemungkaran serta melarangnya untuk saling bantu membantu dalam kebatilan dan dosa.

 

Tolak fahaman pluralisme

Meniru atau terikut-ikut cara ibadat bukan Islam adalah batil dan dosa, hukumnya haram. Sikap toleransi sehingga menerima fahaman pluralisme agama yang menyamaratakan semua agama perlu ditolak. Fahaman ini turut didukung sekelompok umat Islam yang dikenali penganut ‘Islam Liberal’.

Aliran atau manhaj Islam Liberal menekankan ciri keterbukaan dan kebebasan dengan mengutamakan akal logik dalam mentafsir ajaran Islam. Aliran ini berusaha untuk keluar daripada kaedah pentafsiran ilmu tradisi serta apa yang sedia ada dalam syariat Islam yang asli dan tulen.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 42)

 

Islam mewajibkan umatnya berbuat baik kepada bukan Islam apalagi kepada sesama Islam. Ketika ada yang memerlukan bantuan, haruslah dibantu dengan termampu. Jika ada pihak lain membuat ancaman, maka hendaklah membantu mempertahankan hak yang sepatutnya dirasai.

 

Bangun sikap toleransi

Itulah adab umat Islam dalam membangun sikap toleransi. Rasulullah SAW malah mengancam umat Islam yang berbuat zalim kepada zimmi* dengan ancaman tidak masuk syurga.

*Ar; kafir ~ orang kafir yg tunduk (patuh) kpd pemerintahan Islam, spt dgn membayar cukai (nyawa, harta, dan kehormatan diri mereka dilindungi serta mendapat keadilan).

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membunuh bukan Islam yang terikat perjanjian dengan umat Islam, maka ia tidak akan mencium keharuman syurga, meskipun keharumannya itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun perjalanan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jika toleransi dituntut dalam ajaran Islam, maka perbuatan ekstrem yang berlawanan dengan toleransi sudah tentu amat ditegah atau dibenci. Sesungguhnya, Islam tidak pernah meletakkan tindakan ekstrem sebagai cara untuk mencapai apa-apa maksud atau tujuan.

Ajaran Islam tidak membenarkan umatnya mengamalkan perbuatan ekstrem, bahkan tidak menyokong sebarang bentuk penindasan dan ketidakadilan. Umat Islam ditegah mendatangkan sebarang bencana atau kesusahan kepada pihak lain.

Mana-mana individu Islam yang melakukan perbuatan ekstrem tidak patut mengaku melakukan perbuatan itu atas dasar memperjuangkan Islam.

Justeru, sebarang tuduhan yang dilemparkan kepada umat Islam sebagai pengganas, ekstrem, militan, radikal dan kejam adalah dakyah yang dilakukan oleh pihak berniat jahat terhadap umat Islam. Mereka sebenarnya tidak mengetahui mengenai ajaran Islam yang sebenar.

Media Barat sentiasa melancarkan propaganda untuk menggambarkan Islam sebagai paksi segala kejahatan. Berita membabitkan umat Islam yang digambarkan sebagai pengganas mendapat ruang utama di media massa Barat.

Gambaran itu menjadikan seluruh masyarakat dunia menjadi fobia terhadap umat Islam. Sedangkan hakikat sebenarnya Islam amat benci sebarang bentuk keganasan. Islam amat mencintai keamanan dan kesejahteraan untuk dinikmati seluruh penghuni dunia ini.

(sumber: http://www.bharian.com.my/articles/Hadtoleransiselagitidakjejasakidah/Article/)

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...