Thursday, 28 February 2013

'Generasi Y' mula hilang minat budaya cetak

2013/02/25 - 07:41:42 AM Dr Anwar Ridhwan

Kata orang, untuk melihat sama ada sesuatu kebiasaan itu akan berkesinambungan atau tidak, lihatlah perlakuan generasi mudanya. Generasi muda kita hari ini bolehlah dikatakan diwakili oleh ‘Generasi Y’ yang dilahirkan pada lewat tahun 70-an dan 80-an atau awal millennium ini.

 

‘Generasi Y’

Dalam konteks tulisan ini kita ingin melihat hubungan ‘Generasi Y’ dengan budaya cetak. Secara ringkas budaya cetak merangkumi pelbagai teks bercetak dan bentuk bercetak yang dikaitkan dengan komunikasi visual. Ini bermakna ia bebas daripada tradisi oral, lebih-lebih lagi selepas mesin cetak mula dicipta sekitar pertengahan abad ke-15. Antara yang terkenal ialah ciptaan Johannes Gutenberg yang dapat mengeluarkan bahan bercetak dengan banyak.

Mesin cetak yang dapat memproduksi dengan banyak bahan bacaan dalam pelbagai bidang dan untuk pelbagai peringkat pembaca, merevolusikan cara manusia mendapat ilmu pengetahuan dan hiburan. Sastera Melayu yang sebelum itu dikembangkan melalui tradisi oral atau penyalinan manuskrip secara manual, turut mengalami perubahan ketara. Sehingga Ismail Hussein memilih karya Abdullah Munsyi yang tersebar melalui budaya cetak sebagai pemula sastera Melayu moden.

Sejak era Gutenberg hingga beberapa tahun yang lalu, generasi yang melahirkan ‘Generasi Y’ percaya bahawa budaya cetak tidak mungkin hilang dengan cepat di dunia ini. Mereka masih percaya kepada bahan bercetak seperti jurnal, ensiklopedia, buku, majalah, akhbar dan sebagainya. Mereka masih percaya bahawa salah satu peranan jari ialah untuk menyelak lembaran buku, sementara hidung untuk mencium bau kertas!

Kini lihatlah ‘Generasi Y’ kita. Adakah mereka menggunakan jari untuk menyelak lembaran buku, akhbar atau majalah? Adakah mereka menggunakan hidung untuk mencium bau kertas terutama pada buku yang baru dibeli?

‘Generasi Y’ ini secara anakronisme dibawa ke masa lampau untuk memasuki budaya cetak hanya dalam situasi yang formal, umpamanya membaca buku teks sekolah; atau situasi kurang formal, umpamanya membaca novel remaja kegemaran mereka. Akan tetapi kita harus ingat bahawa budaya cetak dalam kedua-dua situasi itu pun sedang berubah.

 

Mula jauhkan diri

Generasi ini mula menjauhkan diri daripada budaya cetak kerana beberapa sebab. Bagi generasi muda yang kurang berada – sama ada di luar bandar atau di dalam bandar – membeli buku bukanlah keutamaan mereka; lebih-lebih lagi apabila tradisi membaca belum membudaya dengan kuat dalam masyarakat kita. Di samping itu kemudahan internet yang disediakan oleh kerajaan atau kafe internet pihak swasta sudah sampai ke desa dan pedalaman. Bagi generasi muda daripada keluarga berada, mereka boleh menambah kemudahan itu dengan memiliki iPod, iPhone dan sebagainya.

Sekarang kita terbiasa melihat ibu bapa menyediakan iPad untuk anak mereka. Di restoran, sambil menunggu makanan yang dipesan sampai, anak ini leka menggerak-gerakkan jari atas skrin iPad. Mereka leka dengan permainan, bukan membaca. Ertinya mereka tidak lagi berada dalam tradisi budaya cetak.

 

Soal selidik budaya baru

Sudah sampai masa untuk pihak yang bertanggungjawab terhadap budaya baru ini, umpamanya Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat soal selidik menyeluruh tentang nasib budaya cetak dan potensi masa depan ICT di negara kita. Dapatan daripada soal-selidik itu nanti dapat dimanfaatkan untuk merancang kelangsungan budaya cetak, serta memperkasa budaya baru seputar teknologi ICT.

Tanpa soal-selidik yang menyeluruh, timbul persepsi yang agak negatif terhadap nasib masa depan budaya cetak di negara ini. Persepsi ini hanya disandarkan pada situasi semakin kurang jumlah pengunjung ke perpustakaan, jumlah kedai buku yang tidak meningkat, serta kurangnya minat membaca buku oleh generasi muda termasuk mereka yang sedang menuntut di IPT.

Persepsi itu lama kelamaan mungkin akan menjadi benar. Ini kerana akhirnya pihak massa yang akan menentukan nasib sesuatu budaya, termasuk budaya cetak serta segala penerbitan konvensional.

 

e-buku makin ambil alih

Sebaliknya, penerbitan bukan konvensional, seperti e-buku kelihatan semakin mengambil alih penerbitan konvensional itu. Ini sejajar dengan perkembangan teknologi elektronik dan digital seperti iPod, Skype, telefon bimbit, Tivo, iTunes, Photoshop, iPhone dan sebagainya lagi. ‘Generasi Y’ berada dalam medan ini.

Beberapa tahun yang akan datang, untuk tidak terus meletakkan ‘Generasi Y’ negara ini dalam situasi anakronisme, buku teks sekolah pun harus diganti dengan e-buku yang mana pelbagai bahan dapat dimuat-turun. Papan hitam atau white board harus diganti dengan skrin elektronik. Inilah budaya baru pengajaran dan pembelajaran ‘Generasi Y’ yang sedang berkembang pada peringkat global.

Mereka dengan cepat meninggalkan budaya cetak, memasuki dunia baru yang pantas dan penuh saingan.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...