Thursday, 28 February 2013

Khutbah Jumaat: Pandu mata, lidah ke arah kebaikan: Deria penting jika tidak dijaga boleh bawa permusuhan

2013/02/22 - 04:16:14 AM

Deria penting jika tidak dijaga boleh bawa permusuhan

Ramai manusia diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik, boleh melihat dengan sempurna ciptaan Allah SWT, boleh makan dan minum, berjalan dan lain-lain lagi.

Tetapi di hari akhirat nanti mereka yang celik di dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan buta. Persoalan besar timbul di sini kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian?

"Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata yang boleh membangkitkan kebencian pada individu tertentu, prasangka buruk serta bercakap bohong.

Jawapannya ialah kerana mereka ini berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan aturan Allah, melakukan maksiat dan membuat dosa besar serta menzalimi orang lain, matanya tidak digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya digunakan untuk melihat kebatilan.

Akibatnya hidup di dunia akan disempitkan, tidak tenang, menderita dan ditimpa musibah. Malahan di akhirat pula, mereka menjadi buta sebagai balasan keingkaran ketika di dunia.

Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, pada hal aku dulu celik?” (Surah Taha, ayat 124-125)

Perbuatan kita semasa di dunia menentukan kedudukan di sisi Allah SWT di akhirat dan begitulah sebaliknya. Jika kita benar-benar taat dan akrabnya di dunia dengan Allah SWT, maka di akhirat pastinya Allah SWT akan mendampingi kita.

Seorang sahabat Nabi, Samurah bin Jundab berkata: “Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah SWT, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya. Barang siapa yang menghormati perintah Allah, lalu bersegera melakukannya, menjauhkan diri daripada larangan Allah, juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, maka kedudukan di sisi Allah pun terhormat.”

Dalam pergaulan seharian tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda.

Dalam banyak-banyak anggota, lidah dan matalah yang paling banyak kesalahan membabitkan sesama manusia. Mata jika tidak dihalakan kepada kebaikan akan mendatangkan kemaksiatan dan dosa lidah dan mata boleh menyebabkan seseorang itu menerima azab di akhirat.

Untuk hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melalui lidah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih bersopan. Sikap tidak menjaga lidah bukan saja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama manusia.

Berkatalah perkara yang benar dengan penuh keberanian walaupun ia sangat pahit untuk ditelan lebih lebih lagi jika kita sebagai pemimpin kerana ia menggambarkan pendirian dan sikap kita sebagai seorang yang beriman.

Berwaspadalah kita akan setiap tutur kata kerana bahayanya lidah bukannya hanya pada individu tertentu tetapi kesannya juga boleh meruntuhkan sesebuah negara dan bangsa.

Justeru, marilah sama-sama kita menghitung diri, adakah kita sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak, adakah segala amalan di dunia ini dijamin pahala di akhirat. Ingatlah segala amalan akan diperhitungkan.

Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata yang boleh membangkitkan kebencian pada individu tertentu, prasangka buruk serta bercakap bohong.

Setiap apa yang diucapkan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan yang diredai Allah akan dicatat, manakala perkataan mendatangkan kebencian Allah dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat.

Janganlah kita tergolong dalam golongan mereka yang celik di dunia tapi buta di akhirat.

Marilah merenung firman Allah SWT: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...