Tuesday, 15 January 2013

Buang sikap tidak peduli: Umat Islam perlu sensitif terhadap pemerkosaan hak, sama ada nyawa mahupun harta benda

2013/01/10 - 10:30:17 AM Nik Salida Suhaila

Umat Islam perlu sensitif terhadap pemerkosaan hak, sama ada nyawa mahupun harta benda

Islam mengajar kita bahawa umat Islam adalah bersaudara dan wajib dibela. Pelbagai aliran fikrah, bertikam lidah dan berlainan pandangan adalah perkara biasa, tetapi agama tetap dijunjung serta kekal perkasa kerana itulah yang utama walau apapun ranjau melanda.

Amatlah berdosa, jika kita terus bertelagah, apatah lagi sengaja mencari salah, sedangkan agama terus diperlekeh oleh orang yang sentiasa mencari jalan untuk menghancurkan Islam di bumi Allah SWT ini. 

Umat Islam mesti membuang sikap tidak peduli terhadap kekuatan akidah, syariat, ibadah dan akhlak yang menjadi syarat utama kekuatan dan keperkasaan ummah seperti yang digerakkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat sewaktu menghadapi musuh Islam.

Apatah lagi jika kita biarkan saudara jauh di sana terus menderita tanpa melakukan apa-apa. Segala usaha yang dilakukan semua pihak menunjukkan kita bukan saja ingin menyelamatkan nyawa saudara seagama, juga untuk mempertahankan kesucian Baitulmaqdis, kiblat pertama umat Islam.

Tindakan segera rakyat Malaysia yang prihatin menubuhkan tabung kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin adalah satu cara kita menghulurkan tangan walau tidak semua mampu menjejak kaki ke sana.

Cadangan memulaukan semua produk dan perkhidmatan yang mempunyai kepentingan dengan Israel, serta tidak menggunakan mata wang dolar dalam urusan perdagangan disambut baik dan sepatutnya bukan seperti pepatah ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’.

Sedangkan Israel dan sekutunya tidak pernah puas menyeksa kaum Muslimin dengan pelbagai bentuk dan cara. Sejak dulu lagi bangsa Yahudi tidak pernah mengenal mangsa sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki, wanita, Nabi, Rasul atau orang biasa. Mereka akan membunuh tanpa rasa belas kasihan dan simpati.

Allah SWT merakamkan kalam-Nya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka dan mereka kufur akan ayat-ayat keterangan Allah dan mereka membunuh nabi-nabi dengan tiada suatu alasan yang benar dan mereka berkata: Hati kami tertutup. Bahkan Allah telah memeterai hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit saja di antaranya.” (Surah an-Nisa', ayat 157)

Tempat lahir

Palestin adalah tempat lahir sebahagian besar Rasul dan Nabi, tempat terletaknya Masjid al-Aqsa, berlakunya Israk dan Mikraj yang sehingga kini terus dikenang oleh umat Islam.

Wilayah Palestin yang hari ini semakin terhimpit di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat bagaikan menanti masa untuk dihapuskan sepenuhnya daripada peta dunia. Israel yang kuat memusuhi Islam dan Arab bukan sekadar ingin menguasai Palestin, juga ingin berkuasa di negara Arab lainnya.

Sifat keji Bani Israel ini dinyatakan Allah SWT dalam firman: “Orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh.” (Surah al-Maidah, ayat 78)

Memang sukar untuk mengalahkan Israel dan sekutunya kerana mereka memiliki peralatan ketenteraan dan senjata nuklear yang hebat kecuali dengan kuasa Allah.

Senjata paling kuat

Justeru, kesepakatan dan persaudaraan umat Islam adalah senjata paling kuat untuk melawan mereka. Allah SWT memberikan kita peringatan bahawa golongan kuffar tidak sekali-kali akan melindungi Islam dan umatnya.

Firman Allah SWT: “Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Tidaklah menghairankan apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempelopori hak asasi manusia tidak pula memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk hidup dengan aman.

Itulah sikap negara kuasa besar lainnya yang sentiasa berdiam diri apabila membabitkan kepentingan Islam dan umat Islam, dan begitu proaktif mengenai isu-isu yang menyentuh kepentingan masyarakat bukan Islam.

Tentulah kita sedar daripada apa yang berlaku, maruah umat Islam tidak sekali-kali akan terbela jika kita terus mengharapkan bantuan orang bukan Islam sama ada melalui undang-undang dunia atau simpati mereka semata.

Jangan pentingkan diri

Umat Islam mesti membuang sikap tidak peduli terhadap kekuatan akidah, syariat, ibadah dan akhlak yang menjadi syarat utama kekuatan dan keperkasaan ummah seperti yang digerakkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat sewaktu menghadapi musuh Islam.

Umat Islam juga perlu sensitif terhadap pemerkosaan hak, sama ada nyawa mahupun harta benda. Janganlah sekali-kali umat Islam pasrah dengan golongan kuffar sehingga menjadikan mereka sekutu untuk melawan saudara seagama, sedangkan umat Islam adalah bersaudara.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...