Friday, 4 January 2013

Ayuh Azam Tahun Baru! Ohhh 2013…

Tekad, azam lakukan perubahan

2013/01/04 - 07:44:27 AM

Umat Islam perlu rancang, susun strategi capai kecemerlangan dalam semua aspek

Kini kita berada di tahun baru 2013, bermakna selangkah kita menambahkan usia dan semakin dekat jarak waktu untuk bertemu dengan Maha Pencipta. Persoalannya, adakah kita sudah dan sentiasa bersiapsiaga menghadapinya?

Sejauh manakah persiapan dan persediaan kita untuk mempersembahkan segala amalan serta kebaktian kepada Allah SWT? Justeru, marilah kita berazam untuk menjadi hamba Allah SWT yang cemerlang dengan melakukan amalan diperintahkan dan meninggalkan segala diharamkan.

Azam adalah satu impian, cita-cita dan janji kepada diri sendiri untuk melakukan sesuatu. Sebagai umat Islam perlu membina tekad dan keazaman untuk menjadi insan yang cemerlang bersandarkan kepada hari ini lebih baik dari semalam.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik dari semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam, manakala orang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun, untuk berubah ke arah yang lebih baik dan terbaik bukan hanya dengan angan-angan semata-mata tanpa disusuli tekad, keazaman yang jitu, usaha serta semangat waja.

Firman Allah SWT: “Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabuut, ayat 69)


Tingkat usaha ke arah kecemerlangan hidup

Penilaian tekad dan keazaman sebenarnya tonggak untuk meningkatkan usaha ke arah kecemerlangan hidup. Umat Islam hendaklah cemerlang dalam semua aspek sama ada dari segi akidah, ibadah, akhlak dan kehidupan.

Malah apa yang lebih bermakna adalah kecemerlangan dalam konteks pelaksanaan kerja yang diamanahkan dan hasil kerja yang dilakukan. Umat Islam bukan hanya berfungsi dan berperanan setakat pada ibadah khusus semata-mata, malah peranan kita sebagai khalifah Allah SWT. Ini bermakna kedua-dua aspek duniawi dan ukhrawi perlulah cemerlang.

Firman Allah SWT: “Ada di antara manusia yang berdoa: Wahai Tuhan Kami! Berilah kami (kebaikan) di dunia. (Orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat). Dan di antara mereka pula ada yang berdoa: Wahai Tuhan kami; berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 200-202)

Kebijaksanaan melakukan perubahan dapat membantu umat Islam merancang masa depan bagi menyusun strategi baru yang bersesuaian dengan perubahan masa serta mampu mengurangkan kegagalan.

Harus diingat, perubahan dalam kehidupan mestilah membebaskan umat Islam daripada belenggu kebekuan yang bercanggah dengan syariat. Ingatlah, Allah SWT tidak akan merubah sesuatu kaum selagi kita tidak melakukan perubahan pada diri sendiri.

Manusia yang cemerlang sebenarnya berjiwa besar lagi kental. Mereka ini dapat dilihat melalui beberapa aspek antaranya, kemahuan tinggi yang tidak mampu digugat oleh sebarang kelemahan.

Kedua, pengorbanan agung yang tidak mengenal erti tamak haloba dan kedekut. Ketiga, memahami prinsip, meyakininya, menghormati, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkompromi dan tidak terpengaruh dengan prinsip yang lain.

Prestasi cemerlang ke arah kebaikan

Kecemerlangan prestasi jika dihalakan kepada kebaikan akan membawa banyak keuntungan. Namun jika dihalakan kepada kejahatan, maka integriti dan akauntabiliti kita akan tercalar.

Ingat pesan Rasulullah SAW daripada Jabir mengenai kesungguhan iblis yang sentiasa berprestasi cemerlang untuk menyesatkan manusia dalam sabdanya: “Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka.” (Riwayat Muslim).


Tanda aras kecemerlangan

Lantaran itu, setiap kita yang memegang tanggungjawab perlu meletakkan tanda aras prestasi cemerlang dan keazaman diri di samping memainkan peranan masing-masing.

Sebagai pemimpin kita perlu meletakkan indeks kemantapan akidah, akhlak, ekonomi, sosial dan pembangunan negara selari dengan pemerkasaan rohani (spiritual) modal insan supaya kegemilangan tamadun Islam dapat diulangi.

Sebagai ketua rumahtangga, suami perlu meletakkan indeks keharmonian rumah tangga ibarat ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan sebagai budaya yang dapat menghindari ahli keluarga daripada gejala rosak akhlak.

Sebagai individu Muslim kita perlu meletakkan indeks peningkatan jati diri Muslim yang berkualiti, berpotensi besar, profesional, berdaya tahan dan sentiasa menuju ke arah kemajuan agama dan ummah.

Marilah bersama kita mengubah pemikiran ke arah lebih kreatif dan inovatif supaya selari dengan peredaran masa serta zaman. Jadikan perubahan diri sebagai batu asas untuk membina sebuah tamadun bangsa yang beretika dan bermaruah.

(Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ~ Berita Harian)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...