Thursday, 3 January 2013

Al-Hadith: Pemberian yang Terbaik (sedekah atau hadiah)

Abu Hurairah r.a berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW maka bertanyalah ia: “Ya Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya? Nabi menjawab: “Sedekah yang engkau berikan sedangkan engkau dalam keadaan sihat dan sangat sayang kepada harta, engkau takut kepapaan dan engkau harapkan kekayaan. Dan janganlah engkau menangguhkan pemberian sedekah sehingga apabila roh engkau telah hampir ke kerongkong berkatalah engkau : “Untuk si anu begini, untuk si anu begini. Sesungguhnya si polan itu telah memilikinya.”

(al-Bukhari dan Muslim)


Huraian:

Islam menganjurkan kita agar bersedekah dalam keadaan sihat. Kerana sesungguhnya bersedekah dalam keadaan sihat itu lebih besar pahalanya daripada bersedekah dalam keadaan sakit dan menampakkan lagi keikhlasan kita dalam melakukan kebajikan di jalan Allah SWT.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Asma’ r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (kepada Asma): “Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu.” Dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya.”

(al-Bukhari dan Muslim)


Huraian:

Allah melarang kita daripada bersifat kedekut, suka mengumpulkan harta dan tidak menafkahkan harta ke jalan Allah. Orang yang banyak bersedekah adalah orang yang tahu akan kebaikan di masa akan datang kerana Allah SWT telah berjanji bahawa pintu rezeki hamba-Nya akan diluaskan jika seseorang itu banyak bersedekah.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa bersedekah seberat biji kurma dari usaha yang baik, dan tidak naik (sampai) kepada Allah melainkan yang baik, maka sesungguhnya Allah menyambutnya dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Allah memelihara sedekah itu untuk pemiliknya, sebagaimana seorang kamu memelihara anak-anak kudanya sehingga menjadilah sedekah itu setinggi gunung.”


(al-Bukhari dan Muslim)


Huraian:

Pemberian itu merangkumi sedekah dan hadiah. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka ia dinamakan sedekah, tetapi jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, sanjungan dan tanda kasih maka ia dinamakan hadiah. Allah menyuruh kita agar menginfakkan harta dan memberi sedekah dengan harta yang halal dan melarang kita daripada menginfakkan harta yang haram sebagaimana ia menyuruh kita agar memastikan agar makan, minum, pakaian dan segala harta benda yang kita gunakan di dunia ini adalah datang daripada sumber yang halal. Sebenarnya bersedekah adalah antara amalan sunat yang dianjurkan dan digalakkan dalam Islam. Anjuran ini tidaklah hanya ditujukan kepada orang-orang kaya sahaja, malah orang-orang yang kurang berada pun dianjurkan bersedekah menurut kadar kemampuan masing-masing.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Sebaik-baik pemberian ialah unta yang mempunyai susu, yang banyak susunya dan kambing yang banyak susunya. Dia pergi pada pagi hari dengan satu bejana dan kembali dengan satu bejana pula.”


(al-Bukhari dan Muslim)


Huraian:

Hadis ini menunjukkan keutamaan kita memberikan unta (binatang) yang banyak menghasilkan manfaat kepada si penerima. Kata orang: "Tangan yang di atas (orang memberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).” Namun dalam hal ini sedekah yang tersembunyi itu adalah lebih baik dan lebih utama daripada sedekah yang dilakukan secara terang-terangan. Ia lebih dekat kepada keikhlasan yang merupakan roh segala amalan dan ia lebih jauh daripada perasaan riak yang merosakkan amalan.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hakim Ibnu Hizam berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Dan berilah lebih dahulu kepada orang yang engkau tanggungi. Dan sebaik-baik sedekah ialah sedekah yang sesudah kita berikan masih ada sisa yang cukup bagi kita. Sesiapa yang memelihara diri daripada yang haram dan meminta-minta, nescaya Allah menjadikannya orang yang terpelihara. Dan sesiapa yang memohon kepada Allah supaya diberi kecukupan, nescaya Allah memberikan kecukupan untuknya.”


(al-Bukhari dan Muslim)


Huraian:

Sebaik-baik sedekah ialah sedekah yang tidak membuatkan kita ditimpa kesusahan akibat terlalu banyak memberi atau dengan perkataan lain pastikan masih ada sisa yang tinggal untuk kita meneruskan kehidupan. Malah dalam bersedekah juga utamakanlah orang yang di bawah tanggungan kita terlebih dahulu daripada yang lain.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Bukanlah orang miskin, orang yang pergi dari rumah ke rumah, dia dapat ditolak oleh sesuap dan dua suap makanan, sebiji kurma dan dua biji kurma. Akan tetapi orang yang miskin itu ialah orang yang tidak memperoleh kecukupan yang dapat mencukupkan keperluannya dan tidak diketahui orang tentang kemiskinannya yang menyebabkan orang memberi sedekah kepadanya. Dan dia pula tidak pergi meminta ke sana ke mari (tidak mengulang-ulangi permintaannya kepada orang lain). ”


(al-Bukhari dan Muslim)


Huraian:

Orang yang miskin adalah orang yang tidak mempunyai kecukupan dan tidak mahu menampakkan kemiskinannya kepada orang lain. Dia tidak mengemis ke sana sini sebaliknya berusaha mencari pendapatan sendiri. Orang sebeginilah yang layak menerima sedekah dan mendapat bantuan.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Abu Said al-Khudri menerangkan bahawasanya Nabi SAW pada suatu hari duduk di atas mimbar dan kami duduk di sekitarnya. Maka nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara yang aku takut terhadap diri mu sesudah wafat ku ialah kemewahan yang diberikan kepada mu. Iaitu kemewahan dunia dan hiasannya. Maka seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kebaikan itu mendatangkan kejahatan? Maka nabi berdiam diri. Kerana itu seseorang berkata kepada orang tersebut: “Mengapa kamu? Apa urusan mu? Engkau bertanya kepada nabi, baginda tidak mahu menjawab. Kemudian kami melihat bahawasanya nabi sedang diturunkan wahyu kepadanya. Abu Said berkata: “Maka nabi menyapu peluh pada dirinya dan nabi bertanya: “Mana si penanya?” seolah-olah nabi memuji orang tersebut. Kemudian nabi bersabda: “Sesungguhnya kebaikan itu tidak mendatangkan kejahatan. Dan sesungguhnya di antara yang ditumbuhkan musim bunga, ada yang memusnahkan binatang lantaran kekenyangan atau hampir-hampir membinasakannya kecuali binatang yang memakan sayur-sayuran. Dia memakan umpan hingga apabila telah buncit lambungnya, maka dia pun menatang matahari lalu dia mengeluarkan kotoran dan kencing serta pergi ke padang penggembalaan. Dan sesungguhnya harta itu indah lagi sedap. Maka sebaik-baik harta orang Muslim ialah yang diberikan sebahagiannya kepada orang miskin, anak yatim dan ibnu sabil. Atau sebagaimana nabi pernah sabdakan. Dan bahawasanya orang yang mengambil harta dengan bukan haknya adalah sebagai orang yang memakan dan tidak merasa kenyang. Dan jadilah harta itu saksi atas dirinya di hari kiamat.”


(al-Bukhari dan Muslim)


Huraian:

Allah melarang kita daripada bersifat tamak dan suka mengumpulkan harta akan tetapi tidak suka bersedekah dan menafkahkan harta tersebut ke jalan Allah. Sedangkan orang yang banyak bersedekah adalah orang yang melaburkan saham untuk kepentingan akhirat. Hakikatnya harta itu adalah fitnah seumpama binatang yang hidup di padang ternakan. Ada yang mati akibat terlalu banyak makan dan ada yang mengeluarkannya kembali sehingga tidak membuncitkan perutnya. Perumpamaan ini adalah bagi orang yang membelanjakan hartanya di jalan-jalan kebajikan. Justeru dalam mencari harta kita perlu bersederhana jangan terlalu tamak hingga mengundang mudharat.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Abu Hurairah r.a berkata : “Adalah Rasulullah SAW apabila dibawa kepadanya sesuatu makanan baginda pun menanyakan tentang makanan itu apakah ia hadiah atau sedekah? Maka jika dikatakan sedekah berkatalah nabi kepada para sahabat: “Makanlah kamu.” Sedangkan baginda sendiri tidak memakannya. Dan jika dikatakan hadiah, nescaya baginda memegangnya dan memakannya bersama-sama mereka.”


(al-Bukhari dan Muslim)


Huraian:

Abu Hurairah r.a berkata : “Adalah Rasulullah SAW apabila dibawa kepadanya sesuatu makanan baginda pun menanyakan tentang makanan itu apakah ia hadiah atau sedekah? Maka jika dikatakan sedekah berkatalah nabi kepada para sahabat: “Makanlah kamu.” Sedangkan baginda sendiri tidak memakannya. Dan jika dikatakan hadiah, nescaya baginda memegangnya dan memakannya bersama-sama mereka.”

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...