Thursday, 5 July 2012

Makanan halal pengaruhi amal ibadat: Pemakanan halal menjana pembentukan Muslim yang bertakwa

Oleh Norizan Muhammad

Bermula Julai ini, sepatutnya kita sudah tidak nampak lagi restoran dan medan selera menggunakan perkataan atau ungkapan halal bersalahan dengan logo halal Malaysia atau jika tidak, bersedialah menerima tindakan.

Selaras penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, hanya logo halal Malaysia saja boleh digunakan bagi melindungi pengguna dikelirukan atau diperdayakan.

Sebenarnya isu halal berkisar kepada tiga perkara asas iaitu sikap pengguna Islam terhadap nilai halal dan haram makanan dibeli, sikap penjual sama ada menghormati pantang larang orang Islam dan ketiga, penguatkuasaan undang-undang membendung perbuatan menipu logo halal.

Tindakan mewajibkan setiap restoran mempamerkan logo halal Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di premis atau restoran adalah penyelesaian terbaik.

Penyeragaman logo halal boleh mengelak umat Islam daripada tertipu dan terkeliru.

Berbalik kepada sikap pengguna pula, sejauh mana kita umat Islam memberi perhatian kepada makanan yang dimakan sedangkan kita maklum, setiap makanan akan menjadi darah daging. Banyak juga pendakwah mengingatkan kaitan makanan dengan sikap kita.

Jika dari segi pemilihan makanan kita mengambil sikap sambil lewa, tidak mustahil kita juga tidak serius dalam menjaga amal ibadat khususnya kewajipan perlu ditunaikan kepada Maha Pencipta.

Masih ada orang Islam yang kita lihat enak menikmati hidangan di restoran atau gerai dimiliki pengusaha bukan Islam dan pemandangan itu menimbulkan tanda tanya, apakah mereka ini benar-benar jahil.

Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin, yang membincangkan adab makan merujuk hadis bermaksud: “Hendaklah kamu makan daripada makanan orang yang bertakwa.”

Jadi, di sini jelas kita ketahui pemilihan makanan bukan saja dilihat dari sudut halal makanan itu, tetapi dilihat dari sudut orang yang menyediakan makanan.

Meskipun kita melihat ia agak remeh untuk difikirkan bagi sesetengah pihak, namun apa membimbangkan ialah kesan serta natijahnya kepada diri. Pemakanan halal mampu menjana pembentukan Muslim yang bertakwa.

images (8)

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...