Tuesday, 6 December 2011

MTUC bantah kemasukan 100,000 pekerja Nepal [Kebanjiran buruh asing dibimbangi beri kesan buruk]

Berita Harian Online|MTUC bantah kemasukan 100,000 pekerja Nepal
Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
2011/12/06
Kebanjiran buruh asing dibimbangi beri kesan buruk

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah kemasukan kira-kira 100,000 pekerja Nepal ke Malaysia secara berperingkat mulai Januari depan untuk bekerja di pelbagai sektor khususnya perladangan, kawalan keselamatan dan pembuatan.

Presidennya, Mohd Khalid Atan, berkata pihaknya bimbang keadaan itu bukan saja akan menyebabkan kebanjiran pekerja asing di negara ini malah akan memberi kesan buruk kepada rakyat tempatan.

“Ketika ini terdapat kira-kira 2 juta pekerja asing di sini, dan jika ada lagi kemasukan tenaga kerja asing baru kita bimbang mereka akan menguasai pelbagai sektor pekerjaan di negara ini, manakala rakyat tempatan pula akan hilang punca pendapatan.

“MTUC amat berharap kemasukan pekerja asing itu akan dikawal kerajaan kerana ketika ini kita dapat melihat sektor pembinaan sudah dikuasai oleh tenaga buruh dari Indonesia, manakala sektor perkilangan pula dibanjiri mereka dari Bangladesh, India dan Myanmar,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Kelmarin, portal berita The Himalayan Times di Nepal memetik Setiausaha Agung Persatuan Agensi Pekerjaan Asing Nepal, Kumud Khanal sebagai berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 100,000 rakyat negara itu akan memasuki Malaysia mulai awal tahun depan.

Kumud berkata, pihaknya menerima permintaan yang tinggi dari Malaysia berhubung bekalan tenaga buruh dari Nepal dan dijangka kumpulan baru itu menerima gaji bulanan kira-kira RM1,000 (Rs26,500).

Sementara itu, Khalid berkata, Kementerian Sumber Manusia harus memberi perhatian serius kepada perkara berkenaan kerana ketika ini sebahagian besar pekerja Nepal yang berada di sini sudah menguasai industri kawalan keselamatan dan juga perladangan.

“Apabila MTUC membantah perkara ini bukan bermakna kami anti pekerja asing sebaliknya kita melihat kemasukan buruh asing seharusnya berdasarkan keperluan dan bukannya melebihi permintaan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...