Tuesday, 6 December 2011

Kerajaan tak perlu tunduk kempen AirAsia [Kerajaan tanggung subsidi RM180j setiap tahun ~ kekal cukai lapangan terbang]

Berita Harian Online|Kerajaan tak perlu tunduk kempen AirAsia
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2011/12/05
Tanggung subsidi RM180j setiap tahun kekal cukai lapangan terbang

KUCHING: Kerajaan tidak akan tunduk dengan kempen syarikat tambang murah AirAsia yang mendakwa cukai lapangan terbang yang baru dinaikkan pada 15 November lalu terlalu tinggi dan membebankan penumpang.

Sebaliknya, kenaikan itu dianggap wajar kerana ia membabitkan cukai lapangan terbang bagi laluan antarabangsa daripada RM51 kepada RM65, manakala cukai laluan domestik kekal pada RM9.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata setiap tahun kerajaan terpaksa menanggung subsidi kira-kira RM180 juta bagi mengekalkan cukai lapangan terbang antarabangsa dan domestik yang dikutip Malaysia Airport Berhad (MAB).

Katanya, tidak adil kepada pembayar cukai di negara ini kerana wang subsidi berkenaan diambil daripada dana awam bagi tujuan mengekalkan cukai lapangan terbang antarabangsa majoriti penumpangnya adalah golongan berkemampuan serta pelancong asing.

“AirAsia tidak sepatutnya berbuat demikian (melancarkan kempen) kerana keputusan kerajaan menaikkan cukai lapangan terbang dilaksanakan selepas mempertimbangkan banyak aspek, termasuk bagi mematuhi Perjanjian Operasi antara kerajaan dan MAB.

“Berdasarkan perjanjian itu, cukai lapangan terbang sepatutnya dinaikkan pada 2009, tetapi tidak dilaksanakan dengan kerajaan terpaksa menanggung subsidi, sedangkan wang itu boleh digunakan untuk tujuan lebih berfaedah,” katanya selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.

Awal minggu lalu, AirAsia melancarkan kempen ‘Katakan Tidak Kepada Kenaikan Cukai Lapangan Terbang’ termasuk menghantar e-mel kepada pelanggannya selepas mendakwa kenaikan itu bakal membebankan penumpang.

Kenaikan RM14 bagi laluan antarabangsa itu bagi penumpang yang menggunakan lapangan terbang utama, manakala penumpang bagi terminal tambang murah kenaikannya adalah RM7.

Abdul Rahim berkata, cukai lapangan terbang di Malaysia boleh dianggap masih rendah berbanding negara jiran seperti Thailand dan Singapura yang mengenakan kadar lebih tinggi.

“Kenapa kita perlu ambil wang rakyat semata-mata bagi membayar subsidi kepada pelancong asing? Lebih baik kita utamakan rakyat tempatan, terutama di Sabah dan Sarawak yang kerap menggunakan lapangan terbang.

“Saya tidak nampak kerajaan perlu tunduk kepada kempen ini, kecuali jika kerajaan bersedia mengambil wang daripada dana awam untuk terus membayar subsidi itu,” katanya sambil menambah jika subsidi itu berterusan selama 10 tahun, ia akan berjumlah RM1.8 bilion.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...