Tuesday, 6 December 2011

FTA - EU penting bagi Malaysia jana ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020

Berita Harian Online|FTA - EU penting bagi Malaysia jana ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020

2011/12/06

BRUSSELS: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) adalah penting bagi negara untuk mencapai matlamatnya untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata jurucakap Suruhanjaya Eropah (EC).

Kejayaan menandatangani FTA Malaysia-EU akan turut merangsang negara ASEAN lain untuk menjalin perjanjian yang sama dengan Eropah, katanya semalam.

Katanya, FTA itu akan membantu ekonomi EU yang bermasalah di segi kewangan pulih daripada krisis hutang kerana ia boleh meningkatkan eksport bagi kedua-dua Malaysia dan ASEAN. Malaysia dijangka menjadi gerbangnya.

Sehingga ini, katanya EU berpuas hati dan gembira dengan kemajuan FTA itu selepas diadakan perundingan lima pusingan sejak perundingan dengan Malaysia itu dilancarkan pada 10 September tahun lalu.

Pusingan keenam dijadualkan dari 8-12 Februari tahun depan di Malaysia.

Objektif bersamanya ialah untuk memuktamadkan perundingan berkenaan menjelang 2012.

Jurucakap itu berkata demikian pada satu seminar perdagangan bagi wartawan Asia Tenggara di sini, yang dianjurkan oleh Direktorat-Jeneral EU bagi Perdagangan dari 5 hingga 7 Disember.

Malaysia adalah rakan perdagangan kedua terbesar EU dalam ASEAN selepas Singapura, yang sebahagian besarnya kerana kedudukannya sebagai gerbang ke rantau Asia Tenggara.

Ia juga berikutan permintaan domestik yang semakin meningkat, dirangsang oleh pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang signifikan.

Sejak lima tahun lalu, perdagangan barangan antara EU dan Malaysia berkembang dengan stabil, sehingga mencecah kadar pertumbuhan tahunan purata kira-kira 3.2 peratus.

Antara 2009 dan 2010, eksport EU ke Malaysia meningkat 24 peratus.

EU, yang terdiri daripada 27 negara anggota, adalah ekonomi terbesar di dunia dengan agihan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 26 peratus. Penduduknya seramai 500 juta orang adalah pasaran yang paling lumayan di dunia.

Jurucakap itu berkata, FTA Malaysia-EU boleh membantu negara anggotanya yang bermasalah pulih dari krisis hutang dengan mendapatkan pendapatan dari eksport serta menjadikan industri di dalam EU lebih kompetitif.

Katanya, kemajuan yang positif mengenai perundingan FTA Malaysia-EU akan menggalakkan negara ASEAN yang lain memulakan perundingan yang sama.

EU, katanya berminat mengadakan FTA dengan empat negara, iaitu Vietnam, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Jurucakap itu berkata, matlamatnya ialah memulakan dua rundingan FTA di kalangan empat negara ASEAN itu. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...