Friday, 18 November 2011

TUMBUHAN DAN KHASIATNYA

TUMBUHAN DAN KHASIATNYA

MONANIZA

KANDUNGAN

1.0 Pengenalan

2.0 Khasiat dan kepentingan bunga

2.1 Bunga Raya

2.2 Bunga Pecah Lima

2.3 Setawar

2.4 Bunga Tahi Ayam

2.5 Bunga Melati

3.0 Khasiat dan kepentingan buah

3.1 Buah mengkudu

3.2 Kelapa Sawit

3.3 Buah Gajus

4.0 Khasiat dan kepentingan bijirin

4.1 Jagung

4.2 Barli

4.3 Kacang soya

4.4 Badam

5.0 Kesimpulan

Rujukan

1.0 PENGENALAN

Hutan tropika merupakan gudang semulajadi yang terbesar untuk perubatan moden. Tumbuh-tumbuhan merupakan sumber penghasilan analgesik, antibiotik, enzim-enzim, hormon-hormon diuretik, kompoun-kompoun anti-parasit, laksatif, anti-koagulan dan pelbagai bahan lagi. Tumbuh-tumbuhan juga menjadi ‘pelan induk’ dan tempat untuk penghasilan beberapa produk perubatan, contohnya, struktur kimia kokain membawa kepada sintesis prokain, sejenis anaestetik. Jumlah sebenar produk dari tumbuh-tumbuhan di dalam farmaseutikal moden menjangkau angka ribu. Daripada jumlah tersebut, satu daripada empat produk di farmasi mungkin berasal dari tropika.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), hampir 70% dari populasi dunia dari tumbuh-tumbuhan terutamanya di negara-negara sedang membangun dan mundur kerana ianya murah dan mudah didapati. Pengguna di negara-negara maju menggunakan ubat-ubat ini sebagai alternatif kepada rawatan moden.

Potensi hutan tropika sebagai gedung perubatan memang tidak boleh diperkecilkan. Pada tahun 1980, di Amerika Syarikat sahaja 20 spesies tumbuhan berbunga dari tropika menghasilkan ubat preskripsi bernilai US$8.112 billion. Lebih menarik lagi, 25% dari produk farmaseutikal dunia datangnya dari hutan tropika dengan anggaran nilai US$20 billion. Di antara bahan terpenting yang digunakan oleh perusahaan perubatan ialah alkaloid- biokompoun yang dihasilkan oleh banyak kategori tumbuh-tumbuhan.

2.0 Khasiat dan Kepentingan Bunga

BUNGA RAYA

Di sebalik warna yang cantik, berseri dan berbau harum sebenarnya bunga mempunyai banyak kegunaannya, antaranya ialah bunga raya atau nama sainsnya ialah Hibiscus rosa sinensis.Tumbuhan ini amat mujarab untuk menghilangkan batuk kerana ia mengandungi sejenis lendir atau mucin yang memberikan rasa sejuk pada kerongkong dan rongga paru-paru. Selain itu, bunga raya juga mengandungi hebiscetin, satu bahan yang amat berkesan untuk meredakan batuk dan menghilangkan kahak. Penghidap akan mendapati lendir yang mengganggu saluran pernafasannya akan dikeluarkan dalam jumlah yang banyak ketika batuk.

BUNGA PECAH LIMA

Bunga pecah lima atau Lochnera rosea amat berkesan untuk mengubat diabetes. Bentuk bunganya yang menarik dengan adunan ton warna yang garang ditengahnya membuatkan bunga ini menjadi pilihan untuk menghiasi halaman rumah. Daunnya yang mempunyai vinbastin, iaitu sejenis alkoloid yang mampu memusnahkan sel-sel tumor. Sari daun pecah lima juga mengandungi vindolin, sejenis alkoloid yang berbentuk metil ester daripada kumpulan asid karbosilik aspidos perimidin yang berkhasiat dan amat berkesan untuk merawat diabetes. Selain itu akarnya juga mengandungi khasiat yang tidak ternilai. Akarnya berkesan untuk merawat kaum perempuan yang mengalami masalah putaran haid yang tidak teratur. Ini kerana kandungan akloida, flavonoida dan tanin di dalam akar berkenaan berupaya membangkitkan kesuburan pengeluaran telur (ovum) wanita (Rajah 1).

SETAWAR

Setawar merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai banyak air. Setawar merupakan sejenis herba dari kategori Crassulaceae dan nama latinnya ialah Kalanchoe pinnata, tetapi di Jawa ianya dikenali sebagai tiba urip. Daun setawar dipercayai mengandungi banyak kandungan saponin iaitu sejenis bahan berkhasiat yang mudah larut dalam air dan membentuk larutan sabun. Selain itu, daun ini juga mengandungi flavonoid dan tanin. Inilah yang membuatkan tumbuhan ini digunakan untuk merawat penyakit buasir (Rajah 2).

BUNGA TAHI AYAM

Bunga tahi ayam atau nama sainsnya Lantana camara amat popular sebagai penyeri halaman rumah. Ia berasal dari Amerika dan di bawa ke Tanah Melayu untuk dijadikan sebagai tanaman tutup bumi. Daun bunga tahi ayam mengandungi sejenis minyak (sineol) yang senang meruap dan meresap dalam udara. Oleh sebab itu sineol ini amat berkesan untuk mengeluarkan lendir dan kahak dari penghidap asma. Lendir ini dapat dikeluarkan dengan menghidu bau yang terhasil daripada ramasan ataupun tumbukan daunnya yang telah dijemur sehingga setengah kering. Selain itu daunnya juga berkesan untuk mengurangkan bengkak akibat daripada infeksi kuman. Ini disebabkan kandungan turpineol dan fulforol di dalamnya. Turpineol merupakan sejenis minyak atsiri yang bersifat antiseptik yang boleh membunuh kuman. Manakala fulfurol pula bersifat antiseptik yang berkesan merawat penyakit kulit yang diakibatkan oleh kulat.

BUNGA MELATI

Bunga melati mempunyai bau yang harum, ia sering digunakan sebagai bahan penyeri majlis-majlis rasmi, khususnya majlis perkahwinan. Bau harum melati adalah disebabkan cecair yang dikenali sebagai jasmon, di Eropah minyak ekstrak bunga melati yang dikenali sebagai jasmine oil, sering digunakan untuk menyapu bahagian tubuh yang tegang atau sakit saraf. Masyarakat Indonesia pula menggunakan bunga melati untuk meredakan demam bagi kanak-kanak. Ia digunakan dengan menumbuk beberapa daun dan kuntum bunga melati dan diadun dengan sedikit air. Sebatikan campuran berkenaan secukupnya kemudian ditampalkan pada dada dan dahi kanak-kanak berkenaan. Sifat sejuknya yang meresap membuatkan suhu badan kanak-kanak yang demam akan cepat turun. Bunga ini juga dapat mengurangkan lebihan susu ibu. Ia digunakan dengan menumbuk beberapa kuntum bunga melati sehingga halus. Kemudian di campurkan dengan sedikit air dan ditampalkan pada sekitar payu dara ibu yang menyusukan bayi (Rajah 3).

3.0 KHASIAT DAN KEPENTINGAN BUAH

BUAH MENGKUDU

Nilai ubatan dan khasiat yang terdapat pada sesetengah tumbuhan memang tidak dapat dinafikan lagi, mengkudu atau nama saintifiknya Morinda citrifolia diketahui kaya dengan pelbagai ramuan ubatan hingga di gelar sebagai "ratu tumbuhan". Di kalangan masyarakat kepulauan Hawaii buah mengkudu dianggap sebagai the magic fruit atau buah ajaib kerana nilai perubatannya yang tinggi. Sebenarnya buah mengkudu atau noni (nama tempatan Hawaii) telah tercatat dalam manuskrip purba sebagai salah satu bahan utama dalam ramuan perubatan sejak 2000 tahun lalu. Seluruh bahagian pokok mengkudu dikatakan mempunyai nilai perubatan yang tersendiri. Buah mengkudu dikatakan boleh meredakan tekanan darah tinggi, senggugut, arthritis, ulser, kencing manis, kerosakkan buah pinggang, pundi hempedu serta salah urat. Selain itu buah mengkudu juga dikatakan dapat merencat pertumbuhan sel-sel barah, mempunyai kesan analgesik(penahan sakit), antiseptik (membunuh kuman) dan menghalang pertumbuhan parasit serta kulat. Pucuk mengkudu pula mempunyai bahan kimia yang amat berguna untuk menghalang proses penuaan. Batang pokok mengkudu boleh digunakan untuk mengurangkan tekanan darah sementara ekstrak daripada bunga mengkudu pula dipercayai boleh menyembuhkan sakit mata.

Saintis Hawaii telah membuat kajian mengenainya sehinggakan buah itu telah dikomersialkan sejak 1993. Produk yang berasaskan buah mengkudu telah mula dipasarkan di Hawaii dalam bentuk tablet dan jus sebagai makanan kesihatan. Menurut Dr. Ilham, amalan meminum jus mengkudu amat baik untuk kesihatan dan ianya diminum sebagai tonik ketika berehat atau selepas bangun dari tidur terutamanya sebelum menikmati sarapan pagi. Jus mengkudu ini biasanya ditambah dengan pelbagai perasa seperti strawberi atau anggur untuk menghilangkan bau yang tidak menyenangkan (Rajah 4).

KELAPA SAWIT

Kelapa sawit juga mempunyai banyak khasiat dan kegunaannya terutamanya minyak kelapa sawit yang memiliki nilai tambah berupa kandungan zat beta karoten yang berwarna merah kekuningan. Zat ini boleh diubah menjadi vitamin A di mana ia mempunyai ciri-ciri biologi yang bermanfaat bagi tubuh badan kita. Di samping itu, minyak kelapa sawit yang lebih dikenali dengan nama crude palm oil (CPO) juga mengandungi pigmen karotenoid yang terdiri daripada komponen alfa, beta, gamma karoten dan lecopene.

Mengikut kajian yang dibuat oleh Iwasaki dan Murokoshi pada tahun tahun 1992 didapati karoten minyak kelapa sawit dapat secara berkesan menekan pertumbuhan tumor ganas pada manusia dan ternyata baik alfa karoten mahupun beta karoten kedua-duanya mempunyai ciri-ciri untuk menekan pertumbuhan tumor. Minyak sawit yang mengandungi tokoferol (vitamin E) yang dapat berfungsi sebagai antioksidan dan fitosterol yang merupakan jenis sterol yang sulit diserap oleh saluran pencernaan. Oleh itu, minyak sawit sangat berguna untuk mencegah timbulnya penyakit-penyakit avitaminosis, penyakit tekanan darah tinggi, penyakit jantung koroner dan penyakit kanser (Rajah 5).

BUAH GAJUS

Buah gajus adalah buah yang boleh dikira sebagai buah yang unik kerana mempunyai biji di luar. Bijinya berbentuk seperti buah pinggang dan berwarna kelabu. Nama saintifik pohon buah gajus ialah Anacardium occidentale dari famili Anarcadiaceae. Nama buah ini berbeza mengikut negeri, di mana ada yang menggelarnya sebagai jambu monyet, buah ketereh atau jambu golok. Ia diperkenalkan ke negara kita pada sekitar 1945-1950 oleh syarikat Penang Rubber Estate limited. Pokok gajus ini berasal dari Brazil dan Peru tumbuh segar di kawasan tanah berpasir. Pucuk buah gajus enak dimakan dan dijadikan ulam bagi kebanyakan orang. Selain itu kacang dari bijinya mengandungi protein yang sangat tinggi. Buahnya yang masak harus dineutralkan terlebih dahulu, ini kerana buah mentah rasanya agak masam kelat serta berminyak dan tidak berapa menarik selera orang ramai (Rajah 6).

4.0 KHASIAT DAN KEPENTINGAN BIJIRIN

JAGUNG

Bijirin juga mempunyai banyak khasiatnya, antaranya ialah jagung atau nama saintifiknya Zea mays yang berasal dari keluarga Gramineae. Tumbuhan ini kaya dengan protein, vitamin B, kalsium, fosforus, zat besi dan sejenis minyak bermutu tinggi yang baik untuk kesihatan. Amalan memakan jagung boleh menguatkan tulang, gigi, rambut dan hati. Ia juga boleh menurunkan tekanan darah dan kandungan gula dalam darah, melancarkan pengaliran darah serta melawaskan kencing.

Jagung dan produk jagung seperti emping, minyak, tepung dan kanji amat baik dimakan oleh mereka yang menghadapi masalah ketika membuang air kecil seperti kencing yang tidak dapat ditahan, kencing terlalu kerap, sakit ketika kencing dan radang pundi kencing. Kulit jagung pula berkesan untuk mengatasi kesulitan ketika membuang air kecil. Bulu jagung yang halus merangsang serta melawaskan kencing, menguatkan hati dan menurunkan tekanan darah. Caranya ialah dengan merebus semangkuk bulu jagung dan dua gelas air. Biarkan airnya mendidih sehingga airnya kering menjadi kira-kira satu gelas kemudian diminum dua kali sehari. Kulit dan bulu jagung juga digunakan untuk mengubati kudis atau luka yang bernanah. Kulit dan bulu halus jagung itu ditumbuk halus sebelum ditampal pada kudis dan biarkan hingga kering (Rajah 7).

BARLI

Pokok barli yang berasal dari keluarga Gramineae, dikenali sebagai Hordeum vulgarae dari segi saintifiknya dan menyerupai pokok gandum yang banyak ditanam di negara-negara Barat. Barli sejenis bijirin yang kaya dengan protein dan vitamin E, banyak digunakan untuk membuat roti, minuman dan berbagai jenis makanan yang berkhasiat. Air rebusan barli baik untuk memulihkan tenaga bagi mereka yamg baru sembuh daripada penyakit. Ia menyejukan badan, melegakan sakit kerongkong dan amat berkesan untuk meredakan masalah perut meragam. Barli juga boleh menambah selera makan dan membantu proses penghadaman makanan. Ia digunakan dalam rawatan tradisional untuk melegakan penyakit bronkitis dan merupakan salah satu daripada ramuan-ramuan asas dalam penjagaan kulit muka.

KACANG SOYA

Kacang soya merupakan sejenis makanan popular di Malaysia. Bijirin ini digunakan oleh penduduk tempatan sama ada untuk membuat tempe, tauhu dan kicap, juga diproses untuk mendapatkan ‘susu’nya yang berkhasiat. Pokok kacang soya yang berasal daripada spesies Glycine max dalam keluarga Leguminosae, biasanya tumbuh rendang setinggi dua meter dan mengeluarkan bunga putih atau ungu. Kacang soya mengandungi 48 peratus protein, lesitin, vitamin dan zat galian. Kandungan kolesterol yang rendah dalam makanan yang diproses daripada kacang soya membantu menghindarkan penyakit jantung dan kencing manis. Sementara minyak yang diproses daripada bijirin ini mempunyai banyak khasiat dari segi perubatan. Ia membantu peredaran darah, menghapuskan kesan-kesan keracunan makanan, meredakan demam dan bertindak sebagai penawar untuk keracunan makanan (Rajah 8).

BADAM

Badam penting untuk kesihatn kerana khasiatnya yang pelbagai, ia boleh dimakan mentah, dikukus seperti kekacang atau dijadikan bahan campuran makanan seperti kuih dan sebagainya. Badam mengandungi 20 kali lebih banyak protein jika dibandingkan dengan bijirin lain. Kandungan lemak dan karbohidratnya tinggi, oleh itu ia mengandungi gula yamg tinggi berbanding dengan buah-buahan yang lain. Kandungan vitamin B dalam badam mengatasi kandungan vitamin itu dalm telur, begitu juga niasin yang dimilikinya melebihi gandum. Kandungan kalsium juga mengatasi kandungan elemen itu dalam susu dan kandungan fosforusnya melebihi kandungan fosforus dalam keju. Kanak-kanak amat sesuai memakan badam kerana khasiatnya dapat membantu pembesaran mereka, selain membina tulang dan gigi. Sementara kepada orang dewasa pula ia dapat membantu menyihatkan jantung mereka (Rajah 9).

KESIMPULAN

Masih banyak lagi spesies tumbuhan di hutan tropika yang belum dikaji potensinya sebagai radas kesihatan manusia. Malah mungkin ada spesies yang belum ditemui lagi. Sekecil-kecil herba sekalipun mengandungi kompaun berguna yang dapat menyelamatkan nyawa. Sejumlah besar ubat-ubatan dari hutan tropika telah dapat membantu kehidupan, malah menyelamatkan nyawa berjuta-juta manusia di seluruh pelusuk dunia. Sumber biodiversiti yang amat penting ini perlu diuruskan secara mampan di samping mewujudkan industri berasaskan bahan semulajadi. Dengan itu, maklumat yang berkaitan perlu didokumentasikan secara komprehensif untuk meningkatkan kefahaman fungsi tumbuhan Hutan Hujan Tropika Malaysia dalam kehidupan manusia sejagat.

 RUJUKAN

Mariatini Othman, 1996. Tumbuh-tumbuhan ubat-ubatan. Majalah Kosmik, April: 50-51.

Penulis Khas. 1998. Gajus: Bijinya mengandungi banyak protein. Majalah Kosmik, Mei: 40.

Wan Noraini Hasan, 1998. Disebalik warna-warni bunga cantik, berseri, berkhasiat. Majalah Kosmik, Jun: 20-21.

Khairunnisa Sulaiman, 1998. Keajaiban buah mengkudu. Majalah Kosmik, November: 96-99.

Mastika 1997. Tips kesihatan, Mei: 31.

Mastika 1996. Tips kesihatan, Jun: 35.

 

(Sumber: http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s3_99/monaniza.html)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...