Friday, 14 October 2011

Pengurusan Islam kini lebih tersusun, sistematik

Berita Harian Online|Pengurusan Islam kini lebih tersusun, sistematik
Oleh Nik Salida Shuhaila

2011/09/29
Pelbagai dasar dirangka untuk mengeratkan perpaduan rakyat berbilang bangsa, agama

DULU Malaysia hanya dikenali sebagai negara kecil serta terpencil yang tersepit antara tanah Indonesia dan Siam. Tiada apa yang istimewa, melainkan beberapa pelabuhan utama yang mempopularkan jenama Tanah Melayu sehingga maklum di serata lautan dan daratan.

Hari ini, Malaysia gah di persada antarabangsa sebagai sebuah negara mempunyai identiti berbeza dan terkehadapan dalam kelasnya yang istimewa.

Pentadbiran hal-ehwal Islam juga menjadi agenda utama dalam sistem kepemimpinan negara dan negeri, sekali gus mempertahankan akidah umat Islam, memperteguhkan undang-undang yang tidak bertentangan dengan objektif keadilan seperti termaktub dalam al-Quran dan Sunnah.

Sistem pentadbiran Islam yang sekian lama menjadi tampuk pemerintahan berpaksikan raja berdaulat, dengan adanya budaya tidak bertentangan syariat dijadikan adat, memuncakkan Malaysia dan warganya bersaing dalam komponen pentadbiran dengan negara Barat.

Tidak dapat dinafikan, sejak sebelum negara merdeka, Islam dan ajarannya sudah memacu dunia Melayu sehingga mampu membawa satu bentuk perubahan budaya yang besar. Fasa pertama transformasi seawal tahun 1200, iaitu penghijrahan akidah daripada bukan Islam kepada Islam.

Fasa kedua bermula pada 1400, iaitu dari kehidupan jauh dari panduan agama kepada cara hidup Muslim sehingga timbul semangat tasauf dan kalam dan fasa terakhir, bermula 1700, yang menjadi kesinambungan pemantapan Islamisasi.

Islam bukan hanya mampan sebagai akidah orang Melayu, tetapi semangatnya juga melengkapkan transformasi jati diri mereka yang sebelumnya tenggelam dalam kejahilan.

Sebelum sistem pengurusan Islam dibentuk dan diamalkan dalam konteks lebih tersusun dan sistematik seperti hari ini, Tanah Melayu sudah menjadi antara pusat pengajian Islam utama sebelum kurun ke-20, sehingga kelemahannya ketara semasa penjajahan Portugis dan fungsinya diambil alih oleh Acheh. Kesultanan Brunei juga tidak ketinggalan memainkan peranan penting menyebarkan fahaman Islam kepada negara jiran.

Selepas merdeka daripada penaklukan dan penjajahan, kepemimpinan negara tidak berputus asa membangunkan kembali dunia Islam, terutama dalam bentuk pentadbiran dan pengurusan adil serta saksama.

Itulah juga yang dianjurkan agama Islam, malah Islam juga menggariskan panduan lengkap sebagai pedoman umatnya dalam sesebuah negara berkerajaan.

Pembaharuan dalam pentadbiran dan pengurusan Islam berkonsepkan penambahbaikan sejak merdeka sehingga hari ini melonjakkan identiti setiap warga Malaysia menjadi lebih tertib dalam beragama, terpimpin, bijaksana, dilindungi undang-undang dan bersatu padu.

Organisasi, strategi, gagasan dan wawasan dilaksanakan pihak pemerintah sama ada dalam rangka Persekutuan, negeri atau wilayah memperteguhkan akidah dan semangat Islam serta membantu pengamalan nilai murni dalam kalangan rakyat.

Hari ini, transformasi pengurusan Islam terus menjadi agenda kerajaan untuk menyemarakkan sistem pemerintahan adil dan bijaksana. Pelbagai dasar dirangka untuk membangunkan rohani dan jasmani serta mengeratkan perpaduan rakyat berbilang bangsa dan agama.

Ia menjelaskan bahawa pengurusan Islam tidak pernah meminggirkan sesiapa, bahkan sikap amanah terhadap urusan ditadbir adalah seiring dengan piawaian dan standard deklarasi antarabangsa dalam pentadbiran sesebuah negara.

Rakyat pula perlu lebih bertanggungjawab dalam perbuatan dan lisan, memperkasa modul pembangunan minda, identiti serta peribadi supaya seiring dengan transformasi yang syarie.

Asas pentadbiran dan pengurusan negara berpaksikan nilai mulia tidak menafikan kebebasan beragama. Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia menggariskan setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan mengangkat status Islam sebagai agama Persekutuan, dan agama lain boleh diamalkan dengan aman.

Pentadbiran hal-ehwal Islam juga menjadi agenda utama dalam sistem kepemimpinan negara dan negeri, sekali gus mempertahankan akidah umat Islam, memperteguhkan undang-undang yang tidak bertentangan dengan objektif keadilan seperti termaktub dalam al-Quran dan Sunnah.

Pengurusan ekonomi dan muamalat, memperkukuhkan institusi pengurusan fatwa demi pengislahan sosial dan cara hidup ditajdidkan dengan ijtihad baru serta penambahbaikan dalam sistem pendidikan menterjemahkan Islam dalam cara hidup.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...