Sunday, 10 July 2011

Menu 1Malaysia dapat sambutan

Berita Harian Online|Menu 1Malaysia dapat sambutan
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim

2011/07/10

image

Program Jom Makan promosi keunikan juadah tempatan sebagai alat perpaduan

KUALA LUMPUR: Sapaan ‘sudah makan?’ yang sinonim dengan masyarakat tempatan yang berbilang kaum, kini berkemungkinan disusuli pelawaan ‘Jom Makan Menu Rakyat 1Malaysia!’

Mungkin kedengaran pelik pada awalnya, tetapi inilah keunikan inisiatif terbaru diusahakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang mahu mempromosikan makanan atau kulinari sebagai alat perpaduan.
Usaha ini pula ada rasionalnya kerana juadah seperti nasi lemak misalnya, tidak boleh dikaitkan sebagai hidangan popular kaum Melayu, sebaliknya turut digemari etnik lain termasuk Cina, India dan lainnya.
 
Lebih menarik lagi, program yang bakal diperluaskan kepada kira-kira 1,000 premis di seluruh negara, turut menawarkan makanan pada harga serendah RM2 bagi sarapan dan hidangan tengah hari RM4 bagi memastikan menu mampu dinikmati ramai.

Pada majlis pelancaran oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Khamis lalu, Restoran Q Bistro Nasi Kandar di Bandar Sri Permaisuri, menjadi antara peneraju program Menu Rakyat 1Malaysia.

Antara menu Rakyat 1Malaysia yang diperkenalkan restoran itu ialah roti canai dan teh tarik bagi sarapan manakala nasi, sayur, telur dadar, sirap atau teh ‘O’ ais bagi makan tengah hari.

Pengarah Urusan Q Bistro, Riyasudin Mohamad Dunkif, berkata langkah itu sebagai komitmen pengusaha restoran bagi membantu pelanggan mengurangkan beban perbelanjaan dalam keadaan ekonomi tidak menentu, sekali gus menyumbang kepada usaha Kerajaan Malaysia menyatupadukan rakyat melalui makanan.
“Sesuai dengan konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, harga makanan dan minuman di sini juga lebih murah serta mengikut kehendak dan selera pelanggan.

“Pada peringkat awal, kami menawarkan roti canai dan teh tarik pada harga RM2 untuk sarapan kerana ia menjadi pilihan utama pelanggan pelbagai kaum di negara ini.

“Boleh dikatakan hampir kebanyakan kedai makan yang menjual hidangan pagi ada menyediakan roti canai kerana permintaan tinggi,” katanya.

Mengenai pemilihan menu roti canai dan teh tarik untuk promosi harga RM2, Riyasudin berkata, ia adalah antara menu wajib yang tersenarai dalam juadah sarapan pagi rakyat Malaysia.

Sementara itu, pelanggan restoran, Nik Aslan Abdullah, 38, berkata inisiatif restoran itu memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat menikmati tawaran pakej makanan dengan harga yang amat berpatutan kepada semua peringkat masyarakat, sekali gus membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Biasanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur ini, roti canai dan teh tarik dijual pada harga yang lebih tinggi kerana kedua-dua menu ini sudah sebati dalam budaya tempatan. Jadi, dengan promosi harga RM2 bagi set sekeping roti canai dan segelas teh tarik tentunya berita gembira bagi pengguna,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Fong Chin Heng, 34, berkata dia memang menggemari menu Rakyat 1Malaysia yang disajikan dalam restoran itu.

“Misalnya pakej makanan roti canai dan teh tarik. Ia memang satu idea yang baik kerana ia menjadi makanan kegemaran kaum Melayu, Cina dan India,” katanya.
Sheena Subash, 28, pula memberitahu dia kebetulan menikmati makanan di kawasan itu bersama rakan-rakannya.

“Apabila melihat promosi ini, mula-mula sukar untuk mempercayainya. Tidak sangka, ada juga pengusaha di tengah-tengah kota ini berani menjual makanan pada harga serendah itu, manakala menu yang dipilih juga bersesuaian dengan selera masyarakat ,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...