Sunday, 10 July 2011

Martabat dua bahasa, sastera (MBMMBI)

Berita Harian Online|Martabat dua bahasa, sastera
Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my
2011/07/07

imageMUHYIDDIN menyampaikan hadiah johan kategori bercerita kepada Hong Li-Man Jeslyn, di Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.

Muhyiddin mahu murid pertingkat kemahiran berbahasa, berkarya

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam usaha memperkasa bahasa Melayu dan sastera kebangsaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, fokus kementeriannya untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dan berkarya di kalangan murid kerana yakin program sedemikian dapat membenih daya inovasi dan kreativiti murid dengan lebih berkesan.

“Dalam usaha memperkukuh keterampilan dan kemahiran guru Bahasa Melayu di sekolah menengah persendirian Cina, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Kursus Penataran Bahasa Melayu di semua sekolah menengah persendirian Cina sejak 2009.

“Saya difahamkan sambutan untuk kursus ini amat menggalakkan dan berharap semua guru sama ada yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu atau mata pelajaran lain di sekolah persendirian dapat menghadiri kursus yang ditawarkan ini bagi meningkat penguasaan bahasa kebangsaan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2011 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Dalam ucapannya juga, Muhyiddin berkata, generasi muda perlu diberi ruang dan peluang secukupnya untuk meluahkan pemikiran mengenai masa depan negara dan mereka di negara ini.

Beliau berkata, ini kerana mereka mempunyai idealisme tersendiri dan sekiranya digilap sudah pasti dapat menyumbang sesuatu yang bermakna kepada kemajuan dan keamanan negara.

"Saya percaya, semangat patriotisme, perpaduan dan semangat ingin menyumbang kepada negara boleh disemai melalui aktiviti pidato, forum dan syarahan yang membincangkan secara khusus asas penting kewujudan sebuah negara bangsa maju dan bersatu padu.

"Dengan luahan fikiran generasi muda sendiri mengenai kepentingan semangat patriotisme dan perpaduan, saya yakin kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai kesedaran tinggi mengenai peranan dan tanggungjawab 
mereka untuk memelihara perpaduan dan keamanan negara.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...