Sunday, 10 July 2011

Kongres Profesor lulus 14 resolusi jayakan transformasi

Berita Harian Online|Kongres Profesor lulus 14 resolusi jayakan transformasi
2011/07/09

KUALA LUMPUR: Kongres Profesor Negara yang berakhir semalam meluluskan 14 resolusi berdasarkan setiap kluster ilmu untuk membantu kerajaan menjayakan usaha transformasi negara seperti berikut:

  1. Mengukuhkan dasar, proses perancangan dan tadbir urus sektor sumber asli dan alam sekitar; transformasi ekonomi yang disokong sistem pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan berasaskan sasaran keberhasilan konkrit dan jelas.
  2. Kod tadbir urus sektor awam dan kaedah penguatkuasaan dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan pengurusan.
  3. Pembangunan modal insan berpengetahuan dan kemahiran tinggi serta sistem keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dicadang bagi memastikan ICT menjadi pemacu utama transformasi.
  4. Pengukuhan Polisi Inovasi Negara bagi memastikan kelestarian ekosistem inovasi tanpa sempadan iaitu membabitkan semua peringkat masyarakat bermula di sekolah hingga industri dan agensi kerajaan.
  5. Bagi memastikan negara tidak terdedah kepada ancaman penyusutan sumber dan krisis tenaga, pembangunan kecekapan penggunaan tenaga, pengoperasian perkakasan, perancangan bandar dan pemerkasaan penjanaan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui dicadangkan.
  6. Sokongan padu terhadap penegasan dasar mengekalkan nisbah 60:40 bagi pelajar aliran sains berbanding pelajar bukan sains yang merosot pada tahap 20:80 ketika ini bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 60 penyelidik, saintis dan jurutera bagi setiap 10,000 tenaga kerja.
  7. Usaha menjana dan memperkasa program penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains sosial disifatkan kritikal bagi membekalkan data sosial mencukupi untuk pelaksanaan transformasi negara.
  8. Menekankan kepentingan sistem pendidikan diperkukuhkan menerusi pendekatan kesepaduan bermula pendidikan dasar hingga tertiari yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta berorientasikan bakat, bukan peperiksaan.
  9. Akses perkhidmatan kesihatan secara saksama dengan memberi keutamaan kepada aspek pencegahan penyakit secara menyeluruh dan berkesan.
  10. Menitikberatkan kesepaduan sosial sebagai prasyarat untuk menjamin transformasi negara yang seimbang.
  11. Bagi memartabat industri farmaseutikal, kerajaan dicadang mewujudkan keupayaan sebagai pengeluar ubatan halal bagi mengelak kebergantungan terhadap pasaran luar yang diragui kesesuaiannya dan boleh mengancam kesihatan rakyat.
  12. Turut diusul bagi bidang kesihatan adalah masalah ketagihan dadah dipertanggungjawabkan bersama Kementerian Kesihatan kerana ia dikenal pasti sebagai penyakit.
  13. Meminta kerajaan memastikan inti pati pembangunan dikawal sistem nilai budaya yang murni untuk mengelak penyelewengan, mengekalkan moral tinggi serta menegakkan prinsip keadilan sosial.
  14. Bagi memastikan sekuriti makanan, negara dicadang memberi perhatian khusus kepada isu penggunaan tanah, koordinasi antara pelbagai kementerian dan agensi, dasar insentif, kebergantungan kepada buruh asing, mekanisme pemasaran, pemindahan teknologi, perubahan iklim, sumber air dan dana pelaburan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...