Friday, 8 July 2011

'Perlu keyakinan jana masa depan'

Berita Harian Online|'Perlu keyakinan jana masa depan'

2011/07/05

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau memerlukan kepercayaan rakyat untuk membina harapan bersama, sekali gus menggembleng tenaga menjana masa depan lebih baik bagi semua.

Perdana Menteri berkata, harapan adalah amat penting kerana ia memberi sinar ketika kecewa serta kejelasan kepada fikiran yang tidak pasti dan harus dibina dengan berasaskan kepercayaan teguh antara pemimpin dan rakyat.

“Bagi menjana kejayaan, kita perlu lihat masa depan. Kita mesti bina wawasan yang memberi tumpuan kepada harapan untuk masa depan lebih baik. Dalam perkataan lain, apa yang kita perlukan ialah ‘nambikei’ (harapan dalam bahasa Tamil).

“Generasi akan datang sukar mencapai kehidupan lebih baik jika yang sedia ada hidup tanpa harapan,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan baru Temple of Fine Arts (TFA) dan Auditorium Shantanand di sini, semalam.

Hadir sama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Duta Khas Infrastruktur Ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu; dan Presiden TFA, V Kanagasivam.

Dalam konteks ini, Najib berkata bagi menyebarluaskan harapan kepada semua lapisan masyarakat India, harus ada kepercayaan terhadap pemimpin komuniti dan politik untuk membawa masa depan lebih cerah.

“Bagi membina kepercayaan ini, kerajaan dan pemimpin masyarakat dari komuniti India mesti bekerjasama. Kita mesti melakukan beberapa kemajuan nyata untuk menandakan permulaan inisiatif bersama serta mewujudkan satu  titik tumpuan yang rakyat boleh menghargainya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...