Tuesday, 21 June 2011

SPR guna biometrik

Berita Harian Online | SPR guna biometrik
Oleh Johari Ibrahim dan Haika Khazi
bhnews@bharian.com.my
2011/06/21

Teknik imbasan ibu jari sah identiti pengundi PRU ke-13

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan sistem biometrik atau teknik imbasan ibu jari bagi mengenal pasti dan mengesahkan identiti pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Untuk melaksanakannya, SPR akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membolehkan sistem biometrik yang diguna pakai beberapa agensi, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen untuk mengesan kemasukan pendatang asing, digunakan pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata SPR akan menggunakan kaedah sama untuk mengesahkan identiti pemegang MyKad dan maklumat peribadi individu sebelum dibenarkan mengundi, termasuk menerusi cap jari.
“Pemegang kad pengenalan perlu meletakkan jarinya pada alat biometrik dan maklumat yang tertera pada skrin akan sama dengan kad pengenalan yang dibawa. Sebaik disahkan, SPR akan memeriksa sama ada nama pembawa kad pengenalan itu disenaraikan dalam daftar pemilih.

“Jika namanya ada dalam senarai, barulah kita berikan kertas undi. Mereka yang sudah mengundi tidak boleh lagi mengundi di tempat lain kerana nama mereka sudah ditanda dalam bank data,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan pihak yang mahu menganjurkan perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai ini kononnya untuk menuntut pilihan raya adil dan bersih. Selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan, perhimpunan haram oleh kumpulan pengacau itu mendapat restu parti pembangkang.

Abdul Aziz berkata, penggunaan sistem biometrik lebih sesuai kerana ia tidak memerlukan pindaan Perlembagaan berbanding menggunakan dakwat kekal.
Beliau juga berkata sehingga ini, SPR tidak pernah menerima aduan atau petisyen yang mendakwa pengundi mengundi lebih daripada sekali, seperti dakwaan sesetengah pihak kononnya pilihan raya diadakan secara tidak bersih. 

“SPR tidak boleh menghalang seseorang daripada menunaikan tanggungjawab mengundi semata-mata kerana ada dakwat kekal pada jari mereka kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata penggunaan sistem biometrik juga lebih menjimatkan kerana menggunakan peralatan sama yang digunakan oleh jabatan dan agensi kerajaan lain.

Ditanya mengenai dakwaan pihak tertentu kononnya daftar pemilih sekarang tidak bersih, Abdul Aziz berkata ia tidak benar kerana SPR melakukan pembersihan data setiap hari.

Abdul Aziz berkata, SPR juga sentiasa bekerjasama rapat dengan JPN bagi membolehkannya mengenal pasti dan mengemas kini maklumat jika ada pengundi yang meninggal dunia sebelum daftar pemilih dipamerkan kepada umum. 

“Kumpulan haram berkenaan hanya menjadikan SPR kambing hitam. Hakikatnya, di Malaysia, parti yang mendapat sokongan ramai di sesuatu tempat akan menang. Penganjur perhimpunan haram itu juga tidak bersih kerana diperkudakan oleh ahli politik tertentu,|” katanya.

Dalam perkembangan lain, polis menerima 761 laporan daripada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi  membantah perhimpunan haram itu sehingga jam 12 tengah malam kelmarin.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...