Tuesday, 21 June 2011

Lambakan lelaki di Pahang

Berita Harian Online|Lambakan lelaki di Pahang

2011/06/21
Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
Ketidakseimbangan nisbah bilangan jantina beri implikasi negatif

KUANTAN: Nisbah bilangan jantina yang tidak seimbang di beberapa negeri, termasuk Pahang sehingga menimbulkan fenomena ‘marriage squeeze’, iaitu kekurangan bilangan penduduk dalam kumpulan usia perkahwinan tertentu untuk dijadikan pasangan hidup.
Berasaskan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat dan Penemuan Awal Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menunjukkan bilangan lelaki di negeri terbabit lebih ramai berbanding wanita.

Laporan itu juga menunjukkan bilangan lelaki dalam usia perkahwinan, iaitu 20 hingga 34 tahun ialah 198,600 orang, lebih ramai berbanding 188,900 wanita manakala nisbah 113 lelaki berbanding 100 wanita pada 2010 bagi Pahang, melebihi paras nasional, iaitu 105 lelaki berbanding 100 wanita.

Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata ketidakseimbangan nisbah bilangan lelaki dan wanita di Pahang jika dibiarkan akan memberi implikasi dari segi persaingan lelaki untuk mendapatkan pasangan hidup.

“Keadaan ini bukan saja memberi kesan kepada sektor pekerjaan, malah menjejaskan institusi kekeluargaan pada masa akan datang,” katanya selepas menyampaikan taklimat Dasar Keluarga Negara (DKN) & Pelan Tindakan DKN di Wisma Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata, tiga punca utama dikenal pasti ialah penghijrahan keluar wanita muda dalam usia perkahwinan secara selektif menyebabkan lelaki terpaksa menunggu lebih lama mendapatkan pasangan, sekali gus menyumbang kepada isu kahwin lewat di kalangan lelaki.

Selain itu, kelahiran bayi lelaki melebihi bilangan jumlah bayi perempuan, iaitu 13,232 berbanding 12,279 pada 2008 dan kemasukan pekerja asing turut memberi kesan dengan nisbah satu warga asing bagi setiap 13 rakyat tempatan dengan jumlahnya 7.5 peratus.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...