Sunday, 8 May 2011

Siapa lebih hina? <rasuah oh rasuah...>

Siapa lebih hina?
Sinar Harian 18 April 2011

Tulisan ini tidak bertujuan untuk bersetuju dengan rasuah. Rasuah itu haram dan tetap haram sampai bila-bila. Sesiapa yang terlibat tetap masuk neraka. Namun, jika tidak ada pilihan antara makan rasuah dengan makan babi, lebih baik makan babi, kerana mudarat rasuah lebih teruk daripada mudarat memakan babi.

Makan babi hanya melibatkan dosa individu dengan Allah kerana memakan makanan yang diharamkan. Sedangkan makan rasuah, bukan sahaja melibatkan dosa seorang tetapi ramai orang, termasuk mereka yang tidak berdosa turut terpalit, kerana disuapkan rezeki haram.

Dengan sebab itu, janganlah hairan apabila anak-anak hasil didik rasuah ini tidak begitu menjadi walaupun telah dihantar ke sekolah agama. Cuba ingat kembali, halal atau tidak rezeki yang disuapkan ke mulut anak-anak. Rezeki haram tidak semesti menyuapkan babi, itu sudah tentu haram. Tetapi lebih haram lagi adalah hasil rezeki rasuah dan riba. Begitulah besarnya haram dan mudarat rasuah.

Rasuah boleh meruntuhkan agama, bangsa dan negara. Bayangkanlah jika kita lepaskan penjenayah, pengedar dadah, penyeludup, penjual rahsia sulit kerajaan dan sebagainya, melalui habuan yang diberikan, apakah akan terjadi kepada masa depan kita? Misalnya, jika Singapura tahu semua maklumat rahsia dan keselamatan kita, bagaimanakah kita boleh berhadapan dengan mereka jika musuh semua tahu kekuatan dan kelemahan kita. Sudah tentu mereka lebih bersedia.

Justeru, usaha-usaha SPRM hendaklah diberikan pujian. Jangan bertindak seperti ultra kiasu. Tidak ada satu kebaikan yang dihargai atas segala usaha SPRM oleh golongan yang tidak sedar diuntung ini. Kematian Allahyarham Sarbani dan mendiang Teoh Beng Hock terus dijadikan isu politik menghentam SPRM. Sedangkan perbicaraan dan pembuktian masih belum selesai. Kesihan sungguh SPRM. Buat salah, tak buat salah. Tujuannya supaya kita menjadi serba salah seperti diluah mati mak, ditelan mati bapak. Inilah budaya ultra kiasu yang sudah terpahat.

Pada ultra kiasu, mereka sahaja yang betul, orang lain tidak. Peliknya, kita asyik sibuk menyalahkan SPRM dan menangkap penerima rasuah. Persoalannya bagaimana dengan pemberi rasuah? Siapakah atau bangsa manakah majoriti yang memberi rasuah ini? Patutkah mereka dibiarkan bermaharaja lela?

Sebenarnya pemberi rasuah lebih bahaya daripada penerima, kerana tidak akan ada penerima jika tidak ada pemberi. Golongan inilah yang sepatutnya kita kerjakan dan cari hingga ke lubang cacing, kerana mereka pencetus rasuah. Malangnya, mereka masih bebas. Yang menerima bala adalah penerima rasuah. Rata-rata penerima dikaitkan dengan orang Melayu (Islam).

Saya tidak nafikan sebagai orang Islam (Melayu) majoritinya adalah penjawat awam. Bermakna, yang memberi adalah bukan Melayu dan yang menerima adalah orang Melayu. Setakat ini, yang menerima menjadi mangsa, yang memberi masih bermaharajalela. Yang menerima kaya sehari atau mungkin sebulan atau setahun dan tidak mustahil menderita seumur hidup jika tertangkap. Manakala, yang memberi, kaya seumur hidup. Hidup senang lenang dan membawa lari kekayaan serta berseronok tinggal di negara lain.

Adakah ini adil? Keluarga pegawai yang menerima rasuah malu seumur hidup. Rasuah yang diterima jarang sekali boleh memperkayakannya, apatah lagi soal keberkatan. Sedangkan pemberi rasuah terus dengan kerjanya memberi rasuah. Mereka akan terus merasuah.

Saya ucapkan tahniah terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mengesan beberapa juta wang dalam akaun pegawai-pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan dalam Operasi 3B, termasuk lebih RM2 juta dalam akaun salah seorang bekas pengarah jabatan itu.

Setakat yang dilaporkan, seramai 62 pegawai JKDM pelbagai pangkat ditahan manakala berjuta-juta wang, akaun dan barangan berharga termasuk rumah dan kereta disita. SPRM menganggarkan lebih RM10 bilion wang rasuah itu telah dipindahkan secara haram ke luar negara, manakala negara kerugian akibat kehilangan pendapatan sebanyak RM108 bilion akibat tindakan tangan-tangan kotor tersebut. Walaupun angka-angka ini dipertikaikan dari segi jumlahnya oleh JKDM, tetapi rasuah tetap berlaku dan jumlahnya tidak kecil.

Saya ingin tegaskan di sini, semua hasil rasuah adalah haram dan lebih haram dari babi. Jika tidak ada pilihan, saya lebih rela menyentuh dan memakan babi. Janganlah pulak selepas ini ada memilih babi setelah menolak rasuah. Ia sekadar perbandingan betapa bahaya, jijik dan hinanya rasuah. Sebab, dalam pemikiran masyarakat kita, babi itu lebih hina, seolah-olah ia bukan makhluk Allah.

Sehina-hina babi, paling tidakpun babi tetap makhluk jadian Allah. Babi mesti dihormati dari sifat, rupa dan segi kejadiannya. Jika ditanya pada babi, babi tidak akan ingin menjadi babi, jika ia tahu ia akan dihina semasa di dunia. Sama seperti anjing. Semua binatang ini tidak boleh dihina, walaupun kita haram memelihara, menyentuh dan memakannya. Jika binatang ini memerlukan pertolongan, kita wajib menolongnya daripada tersiksa atau disiksa.

Lupakah kita kepada peristiwa seorang pelacur yang dijanjikan Allah syurga hanya kerana memberi minum seekor anjing yang dahaga? Saya tidak kata selepas ini, jika ada pelacur yang memberi makan atau minum anjing atau babi, mereka akan dijanjikan Allah syurga. Peristiwa ini hanya sekadar pengajaran supaya kita tidak menghina makhluk Allah.

Adalah salah jika kita memandang hina makhluk tersebut, dan langsung tidak merasa bersalah kerana memberi, mengambil dan menerima rasuah. Babi tidak pernah memberi dan menerima rasuah. Sekurang-kurang ia lebih mulia daripada manusia yang terlibat rasuah. Saya amat mengharapkan selepas ini SPRM akan mencari hingga ke lubang cacing pemberi rasuah. Hukumlah mereka dan malukanlah mereka, sama seperti penerima rasuah seperti yang sedang berlaku.

Namun, selain daripada menghukum, pihak berkuasa juga hendaklah mengambil langkah-langkah pencegahan atau pro-aktif. Sektor-sektor sebegini, termasuk polis, imigresen, Jabatan Pengangkutan dan jabatan lain yang melibatkan pemberian kontrak dan tender, hendaklah dipandang serius dan dipantau dari masa ke semasa.

Ianya perlu bermula dengan pengambilan mereka untuk berkhidmat di jabatan kritikal tersebut. Pastikan mereka yang ingin berkhidmat, benar-benar takut kepada Allah daripada takut kepada manusia. Ini bukan bermakna dengan mengambil ustaz atau ustazah bekerja di sana. Mereka boleh dipilih dari kalangan pelbagai latar belakang, tetapi aspek spiritual hendaklah diambil kira. Saya tidak kata semua golongan agama baik dan tidak menerima rasuah. Tetapi sekurang-kurang sifat takutkan Tuhan (God fearing) dapat menjadi pelindung kepada amalan terkutuk ini.

Kempenkan kepada mereka dalam pejabat, luar pejabat dan media bahawa makan rasuah lebih jijik daripada makan babi. Kalau boleh ambil gambar babi tersebut dan gantungkan di leher mereka yang telah dibuktikan kerana mengambil rasuah.

Saya masih teringat, bagaimana di negara maju, amalan-amalan buruk dikempenkan dan disamakan dengan sifat binatang. Bila berlaku perlanggaran undang-undang tersebut, anak-anak akan mengingatkan bapa jangan seperti babi atau secara automatik muka mereka yang mengamalkan rasuah bertukar menjadi babi...., ini hanya satu misalan sahaja.

Saya kira makhluk yang bernama babi agak berkesan untuk dijadikan bahan kempen, kerana makhluk ini sudah sinonim dengan konotasi negatif dengan rupanya yang hodoh, walaupun tidak sepatutnya dilakukan.

Kedua, gaji dan elaun mereka yang bekerja di sektor ini juga hendaklah dinaikkan. Ia bukan bertujuan untuk memanjakan mereka atau seolah-olah mereka ini elitis, tetapi kadang kala kita tidak ada pilihan. Mereka yang merangka gaji terutamanya Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) tidak seharus merasa tercabar jika gaji polis atau kastam melebihi gaji mereka.

Lagi pula, pembuat dasar seharusnya tidak diletakkan di tangan PTD sahaja. Semua sektor kerajaan hendaklah terlibat, apatah lagi sektor yang kritikal ini. Pandangan mereka hendaklah diambil kira. Saya teramat sedih apabila mendengar ramai doktor pakar di sektor kerajaan meletak jawatan kerana tertarik dengan insentif atau tawaran sektor swasta.

Logiknya mudah, kenapa semua pakar perubatan beralih arah kepada sektor swasta? kerana gaji mereka tidak pernah dapat melebihi ketua setiausaha, apatah lagi ketua setiausaha negara. Secara peribadi, saya tidak akan merasa dengki dan iri hati jika gaji mereka di sektor kritikal ini melebihi gaji pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang lain, terutama PTD yang terdiri daripada kalangan mereka yang membuat dasar.

Biarlah kita meletakkan sesuatu pada tempatnya. Itulah baru dinamakan keadilan. Keadilan bukan sama rata dan sama rasa. Jika sektor kritikal diberikan dua, sektor lain satu, pada saya itu adalah adil, kerana meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Namun demikian, bukanlah bermakna sektor lain dianaktirikan. Jika kerajaan sudah mampu, berikanlah peluang yang sama kepada sektor lain juga. Perkara pokok yang mesti diketahui adalah belanja secara berhemat.

Ambil contoh negara Singapura walaupun agak sukar untuk saya mengambil contoh ini. Gaji Perdana Menteri, Menteri kabinet dan ahli parlimen teramat tinggi. Mereka tidak perlu meminta atau menerima rasuah kerana jawatan tersebut sudah ada jaminan seumur hidup. Di negara kita, gaji wakil rakyat masih berada pada tahap menyedihkan. Maka tidak mustahil jika wakil rakyat terlibat dalam rasuah dan mencari funder atau orang kaya atau syarikat yang boleh menjadi tulang belakangnya.

Saya mempunyai ramai rakan seangkatan yang menjadi wakil rakyat. Boleh dikatakan pada peringkat awalnya hampir habis hartanya dibelanjakan untuk membantu rakyat kononnya. Ketika itu mereka belum tahu lagi selok belok untuk mencari sumber kewangan atau funder, kecuali peruntukan tetap yang memang telah disediakan dan sudah tentu ia tidak mencukupi.

Maklum sahajalah nama wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB) sudah sinonim dengan bantuan. YB adalah tempat mendapat bantuan. Sedangkan YB itu adalah pemudah cara sebagai saluran membantu rakyat. Ini tidak, YB menjadi pusat rakyat dengan meminta pelbagai bantuan. Sehingga ada yang datang membawa bil air dan api untuk dilangsaikan. Ini tidak termasuk lagi dengan bantuan terhadap anak-anak dan berbagai lagi. Apatah pada masa kini yang mana ramai kalangan ibubapa yang anak-anaknya akan memasuki universiti. Sudah tentu pejabat YB menjadi tumpuan, kerana Yang Berhormat bukan lagi tempat Yang Berkhidmat, tetapi Yang Berduit.

Sikap seperti ini hendaklah dihindarkan. Rakyat mesti disedarkan bahawa wakil rakyat berkhidmat untuk rakyat, bukan tempat meminta segala macam. Inilah yang menyebabkan YB-YB kita terpaksa mencari sumber lain bagi menampung hidup dan mengekalkan jawatan. Akibatnya rasuah berleluasa. Funder-funder ini tidak akan membantu YB-YB tersebut secara percuma. Mereka memerlukan sokongan YB untuk mendapat projek dan tender.

Akhirnya, saya memuji jika ada langkah untuk mengenalkan subjek integriti dan rasuah ini di sekolah-sekolah dan tidak ketinggalan di universiti. Anak-anak mesti diberitahu akan bahayanya rasuah. Tidak cukup sekadar hukuman rasuah hendaklah ditingkatkan semaksima mungkin. Jika tidak hukuman mati, sekurang-kurang sehingga penjara seumur hidup, bergantung kepada besar atau kecil rasuah yang berlaku.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, penulisan ini adalah pendapat peribadi beliau


http://ridhuantee.blogspot.com/2011/04/siapa-lebih-hina.html

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...