Sunday, 8 May 2011

Rebat UUM gagal

Berita Harian Online|Rebat UUM gagal
Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
2011/05/06

image

PTG Kedah tolak rayuan universiti kurangkan cukai tanah RM1.7 juta

BALING: Selepas enam kali membuat rayuan, Kerajaan Kedah semalam tetap dengan keputusan menolak permohonan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menyambung semula rebat cukai tanah universiti itu dan mengarahkan mereka membayar pada kadar lama RM1.7 juta setahun.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata rayuan UUM (bawah) itu tidak dipersetujui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan mereka kena menjelaskan cukai itu secepat mungkin atau boleh dikenakan penalti atau tanah kampus itu di rampas.
“Rayuan buat dah, tapi PTG tak setuju jadi kena bayar secepat mungkin (RM1.7 juta) atau boleh kena penalti sehingga RM90,000 lebih atau tanah kampus boleh dirampas,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil di sini, lewat petang kelmarin.

Katanya, kadar cukai 20 sen bagi setiap kaki persegi tanah UUM jauh lebih rendah berbanding cukai yang dikenakan terhadap universiti lain, misalnya Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang yang dikenakan sebanyak RM2.50 bagi setiap kaki persegi.

“Universiti Teknologi Mara pun bayar 50 sen bagi satu kaki persegi... jadi UUM mampu bayar banyak tu dan jika mereka tak mahu bayar, kerajaan negeri akan rugi kira-kira RM1.6 juta setahun,” katanya.

UUM membayar cukai tanah tapak kampus itu RM150,000 setahun sejak 1990 hingga 2008 selepas diberikan rebat oleh kerajaan negeri Barisan Nasional ketika itu dan selepas itu membuat rayuan kepada kerajaan negeri pimpinan PAS, tetapi ditolak.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak yang kesal dengan keputusan itu berkata, pihaknya terpaksa akur dengan keputusan itu kerana ia adalah kuasa kerajaan negeri untuk menentukan jumlah perlu dibayar atas tanah yang diduduki institusi itu.

“Saya kesal kerana pengorbanan UUM dalam bidang akademik yang turut membantu menaik taraf sosioekonomi Kedah demi kepentingan rakyat tidak diambil kira oleh kerajaan negeri dalam membuat keputusannya.

“Oleh itu, kami akan membayar secara ansuran bagi melangsaikan nilai cukai itu mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Katanya, dalam masa terdekat ini, UUM tidak bercadang membuat rayuan kerana sudah banyak kali rayuan dan perbincangan dikemukakan, tetapi ditolak.

“Sepatutnya jasa dan sumbangan kami diambil kira. Jika ada rebat bolehlah kita gunakan untuk tujuan lain bagi kepentingan pelajar dan negeri ini,” katanya di sini, semalam.

INFO
Kronologi cukai tanah UUM

UUM ditubuhkan pada 16 Februari 1984.

Cukai tanah patut dibayar RM1.7 juta.

Dari 1990-2008 UUM membayar RM150,000 selepas rebat diberi kerajaan pimpinan BN.

29 April 2009 UUM menghantar surat memohon semula rebat.

10 Jun 2008 surat kedua dihantar.

25 Julai 2010 rayuan dibuat terus kepada Menteri Besar.

19 September dan 22 Disember 2010 rayuan dihantar kepada Pentadbir Tanah Kubang Pasu.

20 April 2011 surat keenam dihantar kepada MB.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...