Tuesday, 12 April 2011

Pencapaian bagus

Berita Harian Online|Pencapaian bagus
Oleh Norfatimah Ahmad, Nazura Ngah dan Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
2011/03/28

image

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Razak berucap pada pelancaran Laporan Tahunan GTP 2010 pada Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Effendy Rashid

Najib puas hati inisiatif NKRA penuhi aspirasi rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan rakyat sebagai pemegang saham terpenting Program Transformasi Kerajaan (GTP) akan terus mendapat manfaat hasil pencapaian memberangsangkan tahun pertama pelaksanaan enam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Ketika membentangkan laporan tahun pertama GTP itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar tanggungjawab dan amanah yang diletakkan rakyat untuk memenuhi keinginan hidup selesa dalam sebuah negara aman, selamat, selain merasai aspirasi masa depan rakyat.
"Kejayaan sepanjang 2010 tidak akan terhenti, sebaliknya akan kuatkan iltizam untuk terus bekerja dengan gigih dan buat apa saja yang termampu dan terbaik demi kesejahteraan rakyat dan negara tercinta.

"Kita insaf dan bersikap rendah diri bahawa era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir dan apa yang penting bagi kita ialah mengenal pasti keinginan rakyat. Apa yang sebenarnya jangkaan rakyat dan apakah aspirasi rakyat yang perlu dipenuhi kerajaan," katanya ketika melancarkan Laporan Tahunan GTP 2010 pada Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala, barisan menteri kabinet serta lebih 7,000 orang awam.

Enam inisiatif NKRA menerusi GTP adalah mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, memperbaiki infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar.
Pelancaran buku laporan setebal 268 muka surat hasil pencapaian tahun pertama GTP dilakukan selepas pelancaran program berkenaan secara rasmi pada 28 Januari 2010.

Perdana Menteri berkata, sebagai program yang menjadi agenda besar kerajaan supaya dapat menyentuh isi hati rakyat dan menyelesaikan pemasalahan mereka, kejayaan program ini menuntut masa, usaha serta dedikasi serta halangan dan kekangan.

"Yang pasti, hasil ini dapat diperlihatkan kerana ia berpaksi kepada usaha gigih, semangat kental, pengorbanan tinggi dan kesanggupan bekerja sebagai satu pasukan untuk kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Najib berkata, kerajaan akan pastikan agenda ini dilaksanakan sehingga ke peringkat akar umbi supaya gagasan 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dapat dilaksana berdasarkan kepada enam inisiatif NKRA yang digariskan menerusi GTP.

Sementara itu, Najib berkata, GTP akan diselaras, dipantau dan diselia oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Selepas ini Muhyiddin akan menyelaraskan tindakan diambil oleh semua menteri terutama menteri yang mengetuai enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA).

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua menteri yang mengetuai NKRA dan menteri lain serta dua menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala yang mengetuai PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan) serta anggota PEMANDU dari sektor awam dan swasta.

"Saya juga ingin ucap terima kasih kepada sektor perkhidmatan awam diketuai Tan Sri Mohd Sidek Hassan (Ketua Setiausaha Negara) kerana mereka berganding bahu bersama anggota kerajaan.

"Tanpa sokongan mereka, GTP tidak mungkin dapat dijayakan. Inilah yang dapat dipersembahkan kepada rakyat Malaysia. Inilah hasrat kita untuk lakukan yang terbaik untuk rakyat," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...