Wednesday, 20 April 2011

Pelan jadikan negara digital

Berita Harian Online|Pelan jadikan negara digital
Oleh Sophia Ahmad
sophia@bharian.com.my
2011/04/18
MDeC diberi mandat bangunkan rangka kerja inovatif

RANGKA kerja inovatif bagi mengukuhkan pelan transformasi ke arah menjadikan Malaysia negara digital berpendapatan tinggi menjelang 2020 akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh tiga bulan lagi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah diberi mandat untuk membangunkan rangka kerja itu yang akan memfokus kepada usaha mewujudkan persekitaran kompetitif dan inovatif secara berterusan bagi menjana pelaburan dari pihak swasta.

Beliau berkata, ekosistem seumpama itu akan membentuk senario kondusif sekali gus menggalakkan lebih ramai pelabur tampil dengan semangat keusahawanan yang tinggi serta berani mengambil risiko.

"Keadaan ini akan membolehkan kerajaan serta agensi yang bernaung di bawahnya saling bekerjasama rapat untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pembukaan Pameran Komputer Pikom Kuala Lumpur di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seramai dua juta pelawat dijangka mengunjungi pameran Pikom 2011.

Sementara itu, Presiden Pikom, Shaifubahrim Saleh, berkata pameran itu dijangka memberikan hasil yang lebih memberangsangkan berbanding tahun lalu berdasarkan kepada bilangan pengunjung yang semakin bertambah.

Katanya, beliau yakin hasil jualan akan meningkat sebanyak 20 peratus tahun ini.

“Tahun lalu pameran Pikom mencatatkan hasil jualan purata sebanyak RM3 bilion pada setiap pameran,” katanya.

Pada tahun ini, Pikom 2011 akan diadakan dalam tiga edisi dengan edisi pertama pada 25 Feb hingga 22 Mei.

Edisi kedua akan diadakan pada Julai manakala edisi ketiga akan diadakan pada Oktober hingga Disember.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...