Tuesday, 19 April 2011

Najib puji komuniti perniagaan EPP tolak rasuah

Berita Harian Online|Najib puji komuniti perniagaan EPP tolak rasuah

2011/04/19
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini memuji pemilik perniagaan dalam Projek Permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerana berpegang teguh menolak rasuah.

Perdana Menteri berkata, ikrar mereka terhadap integriti menjadikan Malaysia sebuah negara dengan persekitaran perniagaan yang kondusif pada masa ini dan masa depan.
 
"Ini adalah suatu perkara yang penting bagi tokoh korporat di Malaysia memandangkan mereka bersama-sama memerangi rasuah dan membantu Malaysia mengukuhkan ekonominya dengan kita menuju ke arah Wawasan 2020," kata beliau pada majlis pengumuman Perkembangan Terkini Kelima ETP di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala.

Sebanyak 16 komuniti perniagaan EPP tampil untuk menyatakan komitmen mereka terhadap ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Mereka menyatakan ikrar mereka dengan menandatangani Ikrar Integriti Korporat dan Prinsip Pencegahan Rasuah Untuk Syarikat di Malaysia.

Najib menyaksikan acara menandatangani ikrar terbabit. Dengan ikrar itu, syarikat-syarikat boleh secara sukarela membuat deklarasi unilateral yang ia tidak akan melakukan rasuah, akan berusaha ke arah mewujudkan persekitaran perniagaan yang bebas daripada rasuah dan mendukung prinsip pencegahan rasuah untuk syarikat di Malaysia dalam menjalankan perniagaannya dan dalam hubungan dengan rakan kongsi perniagaan serta kerajaan.

"Saya bangga untuk menyatakan bahawa beberapa syarikat pertama yang menyatakan tidak kepada rasuah dan menandatangani ikrar ini adalah rakan kongsi dalam EPP yang diumumkan sebelum ini dalam ETP.

"Beberapa rakan kongsi projek ETP yang diumumkan hari ini juga akan tampil untuk menunjukkan komitmen mereka ke arah ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...