Wednesday, 20 April 2011

Janakuasa bina loji tenaga AS$1.5 bilion di Vietnam

Berita Harian Online|Janakuasa bina loji tenaga AS$1.5 bilion di Vietnam

2011/04/18
JANAKUASA Sdn Bhd akan membina loji tenaga bernilai kira-kira AS$1.5 bilion di Vietnam bagi menampung keperluan tenaga di negara itu tahun depan.

Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh, berkata projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 2014, dan akan dibina melalui dana pembiayaan sebuah syarikat GLC China.

Bercakap kepada pemberita di Kangar kelmarin, beliau berkata, projek yang dikenali sebagai Duyen Hai 2 itu akan dibina di Wilayah Tra Vinh di selatan Vietnam.

"Kami menerima jaminan pembiayaan AS$1.59 bilion daripada Huadian Engineering Co Ltd China bagi melaksanakan projek tenaga itu," kata Abdul Hamid.

Janakuasa ditawarkan konsesi membekalkan tenaga yang akan dibeli oleh Vietnam Electricity (EVN) bagi tempoh 25 tahun, dan loji itu mampu membekalkan sehingga 1,200kv tenaga.

Duyen Hai 2 ialah antara projek yang disenaraikan dalam Pelan Induk Pembangunan Kuasa VI Kerajaan Vietnam berikutan ada peningkatan mendadak keperluan tenaga di negara itu.

Keperluan tenaga di Vietnam dijangka berkembang antara 17 peratus dan 22 peratus antara 2006 dan 2015 adalah antara pertumbuhan yang pantas di kalangan negara Asia selepas China.

"Sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan Vietnam, kami juga akan memberi sumbangan balas dengan cadangan mengeluarkan sumbangan untuk dana pendidikan," kata Abdul Hamid.

Katanya Janakuasa bersedia menyumbang kira-kira AS$1 juta setahun untuk dana pendidikan itu, termasuk bagi penyediaan infrastruktur pendidikan di luar bandar.

Janakuasa yakin pengalamannya mengendalikan loji tenaga Teknologi Tenaga Perlis Consortium Sdn Bhd (TTPC) di Perlis sejak 2003, akan membolehkan projek loji tenaga di Vietnam dapat diurus dengan sempurna.

Janakuasa ialah pemegang ekuiti majoriti dalam TTPC dengan tanggungjawab utamanya membekalkan tenaga kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB). - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...