Wednesday, 20 April 2011

Ahli perniagaan Malaysia disaran bantu tingkatkan pelaburan Malaysia-China

Berita Harian Online|Ahli perniagaan Malaysia disaran bantu tingkatkan pelaburan Malaysia-China

2011/04/20
BEIJING: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta ahli perniagaan Malaysia yang mempunyai jaringan perniagaan di China bersikap aktif dalam membantu kerajaan meningkatkan hubungan perniagaan dan pelaburan dengan republik itu.

Muhyiddin juga berharap peniaga Malaysia akan membawa lebih banyak pelaburan dari China ke Malaysia.

Kedudukan China yang strategik dan pasaran domestik yang besar, menjanjikan peluang perniagaan yang luas kepada Malaysia, katanya pada majlis makan malam bersama masyarakat Malaysia di Beijing.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kapten-kapten industri di Shanghai untuk mempromosi Malaysia dalam bidang ekonomi.

"Dengan kedudukan China yang semakin pesat berkembang sebagai kuasa ekonomi dan politik penting di dunia, jalinan hubungan mesra dengan China pasti akan membawa kelebihan kepada Malaysia dalam perdagangan serantau dan antarabangsa," katanya.

Muhyiddin berkata, dengan perkembangan ekonomi yang pesat di samping pelbagai inisiatif yang komprehensif yang diperkenalkan, Malaysia akan mencapai matlamat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Negara kita akan berjaya jika semua rakyat dapat berganding bahu untuk mencipta kemajuan bersama dan kemakmuran dalam semangat 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin meminta penuntut Malaysia di sini untuk pulang setelah tamat pengajian dan berkhidmat kepada negara.

"Terdapat 512 pelajar melanjutkan pelajaran di Beijing. Bagi pelajar yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Mandarin tetapi belajar Bahasa Mandarin di sini, saya ingin mengucapkan tahniah kerana saudara-saudari telah membuktikan bahasa bukan halangan," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...