Friday, 18 March 2011

[Tsunami di Jepun] Siap sedia hadapi ancaman nuklear

Berita Harian Online|Siap sedia hadapi ancaman nuklear

2011/03/16

image ANGGOTA pertahanan Jepun memakai topeng sebagai persedian menghadapi kesan pencemaran radiasi di Nihonmatsu, Fukushima.

image PELBAGAI barang keperluan habis dijual sebagai persediaan penduduk menghadapi sebarang bencana di Moriyama, Jepun, semalam.

Penduduk bergegas beli barang keperluan, cara PM tangani krisis berganda dikecam

TOKYO: Walaupun digesa kekal tenang oleh Perdana Menteri Naoto Kan, penduduk tetap bergegas ke kedai untuk membeli barang keperluan bagi bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana nuklear.

Di pusat beli-belah Don Quixote, sebuah kedai 24 jam yang menjual barangan keperluan di daerah Roppongi di Tokyo, produk seperti radio, lampu suluh, lilin dan beg tidur habis dijual.

Beberapa kedutaan menasihatkan kakitangan dan rakyat masing-masing untuk meninggalkan kawasan terjejas radiasi dan daerah yang musnah akibat gempa bumi magnitud 9 (dinaikkan daripada 8.9 semalam) dan tsunami Jumaat lalu yang mungkin mengorbankan sehingga 6,000 nyawa.

Pelancong juga didapati memendekkan cuti masing-masing dan syarikat antarabangsa menggesa kakitangan masing-masing untuk berpindah atau merancang memindahkan pejabat ke kawasan di luar Tokyo.

"Saya takut, saya terlalu takut dan berasa berada dalam puting beliung,” kata Lucy Niver,10 dari Egan, Minnesota, yang sedang bercuti bersama keluarganya di Tokyo ketika gempa bumi dan tsunami melanda.

"Saya mahu balik,” katanya lagi.

Media Jepun semakin kritikal terhadap cara Kan menangani krisis berganda ini dan mengecam Tokyo Electric Power Co (TEPCO) - pengendali loji nuklear Fukushima Daiichi - kerana gagal memberi maklumat yang memadai berhubung masalah di loji berkenaan yang lumpuh akibat gempa bumi.

Kan juga membidas TEPCO kerana mengambil masa terlalu lama untuk memaklumkan pejabat beliau berhubung letupan terbaru yang menyebabkan pengeluaran radiasi ke udara sehingga merebak sejauh 170 kilometer ke Tokyo semalam.

"Apa yang sebenarnya berlaku (di loji itu)?” agensi berita Kyodo memetik beliau sebagai berkata.

“Televisyen melaporkan letupan ketiga berlaku pagi semalam tetapi pejabat perdana menteri hanya dimaklumkan sejam kemudian,” kata Kan.

Sejak ia rosak akibat gempa bumi Jumaat lalu, loji nuklear berusia 40 tahun itu mengalami empat letupan, dengan letupan terbaru berlaku terhadap reaktor dua dan empat.

Pihak berkuasa bimbang kebocoran akan berlaku menyebabkan bencana nuklear seperti Chernobyl di Ukraine pada 1986 yang menyaksikan kawasan sekeliling dicemari radiasi. - Agensi

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...