Friday, 18 March 2011

[Tsunami di Jepun] Perjalanan ke enam wilayah terjejas teruk menggerunkan

Berita Harian Online|Perjalanan ke enam wilayah terjejas teruk menggerunkan
Laporan R Magendran di Tokyo
bhnews@bharian.com.my
2011/03/16

image

LALUAN dari Sendai ke Fukushima ditutup hanya dilalui trak tentera, polis dan penyelamat saja.


FUKUSHIMA: Perjalanan enam wartawan kumpulan Media Prima ke kawasan dilanda tsunami di Timur Laut Jepun ibarat telur di hujung tanduk kerana Lebuh Raya Tohoku ke enam wilayah terjejas teruk itu sudah ditutup dan hanya kenderaan berpelekat khas keluaran Polis Metropolitan Tokyo dibenar menggunakan laluan berkenaan.

Iwate, Miyagi, Fukushima dan Ibaraki di timur laut Jepun yang secara keseluruhannya dikenali sebagai Tohoku adalah kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.

Kedutaan Besar Malaysia di Jepun membantu mendapatkan pelekat khas bagi penulis, wartawan New Straits Times, Harian Metro, TV3, jurugambar New Straits Times Press (NSTP) dan jurukamera TV3 bagi menggunakan Lebuh Raya Tohoku, yang menjadi laluan utama ke kawasan berkenaan.

Rasa cemas mula menyelubungi kami apabila laporan berita terkini menyatakan kerosakan di loji nuklear Fukushima Daiichi semakin teruk dan ada kemungkinan zon larangan 30 kilometer diperluaskan dan semua laluan keluar masuk ditutup sama sekali.

Setakat jam 9.10 malam tadi (8.10 malam waktu tempatan), kerosakan loji pertama dan ketiga dilapor mengalami kebocoran serius. Sementara itu, di loji kedua dan keempat dilaporkan berlaku letupan manakala loji lima dan enam sudah menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Perjalanan meredah jalan kampung sejauh 15 kilometer dalam keadaan gelap dan suhu mencecah -1 darjah Celcius sebelum sampai ke Fukushima cukup memenatkan pemandu kami, Kaneo Hayakawa, 63, dan kami sepakat berbahaya untuk pulang ke Tokyo serta-merta kerana salji sudah mula turun dan semakin lebat.

Sepanjang perjalanan 330 kilometer dari Tokyo yang memakan masa hampir lapan jam itu agak menggerunkan kerana kami tidak berselisih dengan sebarang kenderaan lain kecuali trak tentera, polis atau penyelamat yang dikerah untuk operasi pemindahan, manakala bahagian tertentu lebuh raya yang rosak akibat gempa bumi Jumaat lalu masih jelas kelihatan.

Dari segi bekalan makanan pula, hampir semua rak makanan kedai di Tokyo hampir kosong, terutama di kedai menjual roti, kerana semuanya dikumpul untuk dihantar kepada mangsa bencana, termasuk bekalan air bersih dan minuman lain.

Bekalan air paip, elektrik serta komunikasi masih belum pulih sepenuhnya dan keadaan cuaca yang bertambah buruk dengan salji semakin lebat dijangka menyukarkan lagi kehidupan mangsa di pusat perlindungan sementara selain membantutkan kerja pembersihan.

Ketika meninggalkan Tokyo kira-kira jam 2.30 petang semalam, kerosakan di loji nuklear Fukushima Daiichi dilaporkan agak teruk, tetapi tidak terlalu serius, tetapi satu lagi letupan pada lewat petang semalam mengakibatkan penduduk setempat cemas.

Walaupun media asing melaporkan tahap radiasi sudah 400 kali ganda melepasi kadar normal dan menasihatkan orang ramai jangan meninggalkan rumah, tiada sebarang amaran seumpamanya dikeluarkan secara rasmi oleh kerajaan Jepun yang memantau rapi kejadian itu.

Malah, Kedutaan Besar Malaysia di Jepun juga mengesahkan tiada amaran rasmi seumpamanya dikeluarkan dan van yang dinaiki penulis bersama rakan wartawan lain hanya perlu melepasi satu sekatan jalan 15 kilometer sebelum sampai di hotel tempat menginap iaitu Bonari Hotel di pekan Inawashiro, Fukushima.

Hotel itu terletak kira-kira 100 kilometer dari loji nuklear Fukushima Daiichi, iaitu bersempadan dengan kawasan yang diisytiharkan sebagai zon larangan dan setakat jam 8.30 petang (7.30 petang) semalam, tiada arahan berpindah atau meninggalkan kawasan itu dikeluarkan, malah, ada beberapa rakyat tempatan turut menginap di hotel tempat kami tinggal, yang juga antara pusat peranginan musim sejuk terkemuka di negara itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...