Friday, 18 March 2011

[Tsunami di Jepun] Pelajar kita di Jepun bimbang keselamatan

Berita Harian Online|Pelajar kita di Jepun bimbang keselamatan

2011/03/16
KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di Jepun bimbang mengenai keselamatan mereka apabila pihak berkuasa mengeluarkan arahan kepada 140,000 penduduk dalam jarak 30 kilometer dari loji nuklear itu supaya tidak keluar rumah untuk mengelakkan risiko terdedah kepada radiasi nuklear.

Pelajar Malaysia di Universiti Sains Tokyo, Awadh Asyraf Supri, berkata insiden di loji nuklear itu merisaukan banyak pihak selepas stesen televisyen melaporkan, letupan hidrogen di reaktor tiga mungkin menyebabkan berlakunya kebocoran radioaktif.

“Berdasarkan laporan stesen televisyen, pihak berkuasa meminta penduduk dalam lingkungan 20-30 kilometer supaya duduk dalam rumah, tutup tingkap, bawa masuk jemuran ke dalam rumah dan kalau keluar rumah kena pakai raincoat atau topi dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Manakala operator loji nuklear itu, TEPCO atau Tokyo Denryoku (Tokyo Electric Power Company) masih bekerja keras untuk membaiki reaktor nuklear itu,” katanya kepada Berita Harian melalui e-mel semalam.

Awadh Asyraf yang juga Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) adalah antara 2,465 pelajar Malaysia di Jepun ketika gempa bumi sekuat 9 pada skala Richter dan tsunami melanda timur laut Jepun itu.

Beliau yang kini berada di Tokyo berkata berdasarkan perbualan dengan rakan-rakannya di Iwate, kebanyakan dari mereka pulang ke rumah atau penginapan masing-masing dari pusat pemindahan sementara, sejak Sabtu lalu, dengan bekalan elektrik, air, internet dan gas disalurkan seperti biasa.

Sementara itu, pelajar Universiti Tohoku, Shazree Zaini berkata warga Malaysia di Sendai selamat dan ketika ini berlindung di sekolah rendah di kawasan berdekatan dengan kediaman komuniti Malaysia dan Kolej Sendai.

“Pelajar di Sendai juga mendapat bekalan makanan dari Kedutaan Malaysia. Kebimbangan sekarang ialah keadaan reaktor nuklear di Fukushima yang kedudukannya hanyalah 100km dari Bandar Sendai,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...