Friday, 18 March 2011

[Tsunami di Jepun] Malaysia belum dapat kebenaran hantar pasukan SMART

Berita Harian Online|Malaysia belum dapat kebenaran hantar pasukan SMART

2011/03/16

image

ANGGOTA SMART serta Bomba dan Penyelamat memunggah peralatan ke dalam kapal terbang TUDM untuk misi menyelamat mangsa tsunami di Jepun yang tertangguh sementara.

TANJUNG KARANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan bercadang menghantar pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang disertai doktor dan pegawai kesihatan ke Jepun, tetapi kerajaan negara itu belum memberi persetujuan.

“Kerajaan Jepun setakat ini tidak dapat memberi persetujuan berikutan keadaan di negara Matahari Terbit itu masih tidak menentu dan sukar bagi orang luar untuk beroperasi,” katanya ketika melancarkan Nadi Kasih, program membaiki rumah uzur milik rakyat termiskin peringkat kebangsaan, di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata aspek keselamatan negara dan rakyat menjadi keutamaan kerajaan dalam cadangan penggunaan tenaga nuklear di Malaysia pada masa depan.

Beliau berkata, kejadian letupan dan kebocoran loji nuklear yang berlaku di Jepun pada masa ini juga memberi banyak pengajaran kepada semua pihak.

"Banyak perkara boleh kita belajar (daripada kejadian itu) tetapi yang penting (ialah) soal keselamatan negara dan rakyat," katanya pada sidang media selepas menutup Program Keluarga Angkat 1Malaysia 2011 di sini, semalam.

Muhyiddin juga mengingatkan pihak tertentu di negara ini supaya tidak menyebarkan khabar angin termasuk menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya Malaysia juga terjejas akibat kebocoran radiasi di Jepun itu.

"Malaysia sehingga hari ini masih selamat, kita tahu, apa pun agensi yang terbabit memang memantau, bukan saja yang berlaku di Jepun dan dari segi kedudukan dengan Malaysia (tetapi juga) dari segi cuaca,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...