Friday, 18 March 2011

[Tsunami di Jepun] Malaysia alami kesan minimum radioaktif

Berita Harian Online|Malaysia alami kesan minimum radioaktif

2011/03/18
KUALA LUMPUR: Malaysia hanya mengalami kesan minimum radioaktif jika perubahan angin dan cuaca menolak sisa berkenaan ke rantau ini, tetapi tidak mendatangkan mudarat kepada penduduk negara ini.

Pakar nuklear, Prof Datuk Dr Sukiman Sarman, berkata kesan radiasi yang bocor di loji Fukushima Daiichi di Jepun itu hanya pada tahap saki baki serta tidak akan sampai ke ruang udara Malaysia yang jaraknya kira-kira 6,000 kilometer dari tapak loji berkenaan.

“Berdasarkan pemantauan, sisa radioaktif tidak sampai ke Malaysia kerana keadaan semasa dan perubahan cuaca. Pada masa sama arah angin bertiup ke utara dan timur laut di negara itu. Walaupun arah angin berubah ke Malaysia, sisa radioaktif terpaksa menempuh hujan dan laut lepas menyebabkan sisa berbahaya seperti Caesium-137 serta Strontium-90, jatuh ke laut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Pensyarah Program Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata debu radioaktif yang tinggi hanya mencemari kawasan di lingkungan tiga kilometer daripada loji untuk tempoh beberapa hari kerana mempunyai jangka hayat pendek antara beberapa saat ke beberapa jam dan tidak membahayakan kawasan yang jauh daripada kawasan tragedi seperti Malaysia.

Sementara itu, Pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di enam lokasi seluruh negara semalam, menunjukkan kadar dedahan sinaran di Malaysia pada paras normal iaitu di antara 0.024 hingga 0.175 uSv/jam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata mekanisme pengawal masuk bahan radioaktif sama ada melalui kargo atau manusia melalui Sistem Pemonitoran Portal (RPM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang beroperasi seperti biasa.

“Sistem RPM dipasang sejak 2009 dan tiada kadar dedahan melebihi paras normal dikesan sehingga tarikh ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Untuk maklumat teknikal layari laman web IAEA www.iaea.org atau hubungi Hotline 1800-88-7999

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...