Tuesday, 22 February 2011

Muslim warisi tugas dakwah daripada Rasul

Berita Harian Online | Muslim warisi tugas dakwah daripada Rasul
Oleh Zahiruddin Zabidi

2011/02/21
TUGAS Rasulullah SAW selepas menerima wahyu pertama sekali gus mengiktiraf Baginda sebagai rasul utusan Allah SWT adalah menyampaikan dan mengajak manusia kepada jalan kebenaran iaitu jalan Allah SWT, pada masa sama mencegah daripada terjebak dengan kemungkaran.

Justeru, dakwah menjadi tugas warisan daripada Rasulullah SAW kepada setiap umatnya tetapi hanya segelintir yang memandang dakwah sebagai perkara besar dan keutamaan dalam kehidupan.
Mungkin ramai orang Islam hari ini berpandangan tugas dakwah boleh dilucutkan daripada pertanggungjawaban mereka kerana sudah wujud agensi kerajaan khususnya di bawah Jabatan Agama Islam Negeri yang mempunyai Unit Dakwah.
 
Ditambah pula adanya organisasi dakwah sukarela seperti Angkatan Belia Islam (ABIM), Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan yang berkaitan kerajaan seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang aktif menjalankan aktiviti dakwah dalam konteks serta kemampuan tersendiri.

Ini menambahkan lagi tanggapan bahawa tugas dakwah boleh diserahkan kepada mereka yang bertanggungjawab atau dalam erti kata lain mereka yang bekerja makan gaji dengan organisasi berkenaan.

Umat Islam seharusnya menyedari tanggungjawab dakwah adalah kewajipan semua. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Firman Allah SWT lagi bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)


Daripada kebanyakan lapangan dakwah yang pelbagai itu, ada satu cabang dakwah sangat penting dan utama bagi seseorang Muslim khususnya lelaki iaitu menganjurkan kebaikan serta mencegah kemungkaran kepada keluarga.

Allah SWT memberi amaran keras bermaksud: “Wahai orang yang beriman, pelihara dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)

Berdasarkan ayat itu jelas bahawa dakwah untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran harus bermula terlebih dulu dari dalam diri, ahli keluarga seterusnya kepada masyarakat.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...