Thursday, 17 February 2011

Berita Harian Online | Anugerah Maulidur Rasul patut jadi inspirasi kepada generasi muda

Anugerah Maulidur Rasul patut jadi inspirasi kepada generasi muda
Oleh Hasliza Hassan

2011/02/16

KONSEP ilmu dalam Islam sama seperti resmi padi, makin berisi makin tunduk. Oleh itu, bagi yang memiliki ilmu yang banyak, jangan berasa bangga hingga lupa ilmu itu kepunyaan Allah sebaliknya, hendaklah tawaduk serta merendah diri.

Itu kata azimat penerima Anugerah Maulidur Rasul, Profesor di Kuliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen, tatkala ditanya perasaannya terpilih menerima anugerah itu bersama enam penerima lain.

Anak kelahiran Kampung Gedong, Samarahan, Sarawak itu mengakui perasaan hatinya bercampur baur antara gembira dan bimbang kerana sumbangan kecil yang diberi mendapat pengiktirafan besar.
Malah, Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Sarawak tahun lalu itu, berulang kali mengulangi keresahan melanda hatinya yang takut anugerah diterima menjadikan beliau riak atau lupa daratan.

“Anugerah ini juga bukan untuk saya saja, tetapi untuk ibu bapa, keluarga dan UIAM tempat saya berkhidmat sekarang,” katanya yang ditemui selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Dewan Solat Utama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, semalam.

Katanya, pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul diharap menjadi inspirasi serta galakan kepada anak muda khususnya pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang diceburi.

Sebagai peringatan, beliau menekankan kepentingan melakukan setiap pekerjaan dengan niat yang ikhlas untuk mencapai kecemerlangan kerana Allah, walaupun kerja dilakukan tidak sebesar atau sehebat mana.
“Lagi satu, mesti yakin jika kita berbakti dengan ikhlas, Allah akan anugerahkan rezeki melalui jalan yang tidak pernah kita duga. Diharap anugerah ini memberi inspirasi pelajar saya untuk terus mencapai kecemerlangan dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Ismawi mempromosi seni bina Islam pada peringkat antarabangsa dan antara kejayaan terbesar beliau adalah mendapat kepercayaan Kerajaan Arab Saudi yang memilih beliau sebagai ahli panel antarabangsa kajian pembangunan Masjidil Haram, Makkah pada 2008.

Seorang lagi pemenang ialah pelajar tingkatan 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, Wee Soon Yen.

Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan diberi kepada bekas Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Dr Abdul Hayei Abdul Sukor.

Anugerah disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri Kabinet.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM20,000, plak, hadiah iringan dan sijil penghargaan. Penerima Anugerah Perdana menerima hadiah wang tunai RM50,000 selain plak, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Wee, yang mencatat keputusan cemerlang 8A termasuk Bahasa Arab pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah 2010 adalah satu-satunya pelajar Cina menunjukkan minat mendalami subjek Bahasa Arab.

Kejayaannya yang membanggakan itu membuktikan kejayaan tidak mustahil untuk dicapai jika diiringi dengan usaha. Keberanian dan sifat percaya anak pasangan Wee Hock Lim dan Soo Ah Khem perlu dicontohi semua pihak khususnya remaja.

Melahirkan rasa gembira dengan anugerah tidak pernah disangkakan itu, Wee menjadikan penguasaan subjek Bahasa Arab sebagai cabaran untuk mempelajari lebih banyak bahasa pada masa depan.

“Saya suka jika dapat menguasai banyak bahasa dan kerana itu saya berusaha mendalami Bahasa Arab. Syukur pada Tuhan dan terima kasih kepada pihak yang mengiktiraf usaha ini. Sebenarnya, anugerah ini datang bersama
tanggungjawab,” katanya yang mengakui takut dengan pengharapan umum kepadanya.

Berita Harian Online | Anugerah Maulidur Rasul patut jadi inspirasi kepada generasi muda

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...