Thursday, 24 February 2011

Bayar sekarang!

Utusan Online | Bayar sekarang!

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

image

Solah Mat Hassan (kiri) bersama Abdul Aziz Yusof (tengah) dan Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Mohamad Sauffi Mohamad pada sidang akhbar mengenai pelaksanaan kadar kompaun baru kesalahan lalu lintas di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 23 Feb. - Lebih 18 juta saman tertunggak dicatatkan oleh tiga agensi penguat kuasa kesalahan lalu lintas iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh 2000 hingga 2009.

Daripada sejumlah saman itu, 15.6 juta daripadanya merupakan saman polis, 1.8 juta saman DBKL dan kira-kira 606,800 lagi saman JPJ.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, semua pesalah trafik yang menerima saman daripada JPJ dan polis mesti menyelesaikan saman mereka selewat-lewatnya 28 Februari ini atau nama mereka disenaraihitamkan.

Statistik menunjukkan hanya 113,447 saman polis dan 1,227 saman JPJ dijelaskan dalam tempoh 11 Februari hingga 17 Februari, walaupun pemandu terbabit berdepan risiko disenaraihitam.

Statistik turut menunjukkan bahawa hanya 35 saman DBKL dijelaskan dalam tempoh sama sekali gus menunjukkan sikap orang ramai yang selalu mengabaikan saman pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan tidak akan menangguhkan tempoh pembayaran saman, orang ramai dinasihatkan membuat pembayaran secepat mungkin dan jangan menunggu sehingga hari terakhir.

"Mereka boleh membayar secara dalam talian, di kaunter agensi atau melalui 688 buah pejabat pos seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Solah berkata, JPJ, polis dan DBKL telah bersetuju dan bersedia melaksanakan kadar kompaun baru mulai 1 Mac seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

"Kadar kompaun lama bagaimanapun masih terpakai untuk saman-saman yang dikeluarkan sebelum 1 Mac.

"Untuk saman PBT, buat masa ini hanya DBKL yang terlibat dengan kadar kompaun baru tetapi ia akan diperluaskan ke lebih banyak tempat selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, Solah berkata, pesalah trafik yang menerima saman daripada PBT termasuk DBKL buat masa ini tidak akan disenaraihitamkan walaupun pindaan Akta Pengangkutan Jalan membenarkan tindakan tegas itu diambil.

"Hanya penerima saman polis dan JPJ yang akan disenaraihitamkan pada peringkat ini.

"Kita bagaimanapun dalam proses untuk pastikan saman lain (termasuk daripada DBKL) akan disenaraihitamkan pada masa depan apabila mekanisme dan sistem komputer yang lengkap disediakan," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka%5FHadapan&pg=mh_01.htm

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...