Monday, 24 January 2011

Berita Harian Online | Kenaikan nilai ringgit stabilkan harga, hadkan tekanan inflasi

Kenaikan nilai ringgit stabilkan harga, hadkan tekanan inflasi


2011/01/24
KENAIKAN nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat ke paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun dan beberapa mata wang utama dunia lain baru-baru ini memberi manfaat besar kepada Malaysia dalam menstabilkan harga dan mengehadkan tekanan inflasi, kata penganalisis.

Keadaan itu berlaku di sebalik kenaikan harga barangan yang tinggi dihadapi sebahagian besar negara ekonomi baru muncul lain susulan peningkatan harga komoditi dan makanan global.
 
Ahli Ekonomi AmResearch, Manokaran Mottain, berkata pengukuhan ringgit sebanyak 2.8 peratus pada Disember lalu antara lain menjadi penghalang kenaikan barangan dan perkhidmatan khususnya yang diimport.
 
Selain itu, katanya, pelaksanaan kawalan harga terhadap produk tertentu di negara ini oleh kerajaan juga memastikan harga barangan keperluan di negara ini lebih murah berbanding kebanyakan negara lain di rantau ini.

Jelasnya, di sebalik penstrukturan semula subsidi baru-baru ini, namun harga RON 95 di Malaysia adalah 30 peratus lebih rendah berbanding Indonesia dan dua kali lebih murah berbanding Singapura dan Thailand.

Gula yang kini berharga RM2.10 sekilogram pula adalah 67 peratus lebih murah di Malaysia berbanding dengan Indonesia, katanya.

“Perbezaan itu penting dalam menjelaskan kesan kecil yang dihadapi Malaysia berikutan lonjakan harga makanan dan komoditi global," kata beliau di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 2.2 peratus pada Disember lalu berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Kenaikan itu dipacu langkah penstrukturan semula subsidi baru-baru ini ke atas petrol dan gula berikutan kenaikan harga pengangkutan dan makanan pada Disember lalu.

Berbanding bulan sebelumnya, inflasi pada Disember yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (CPI) mencatatkan kenaikan 0.4 peratus. Bagi keseluruhan 2010, inflasi berkembang pada kadar 1.7 peratus berbanding 0.6 peratus pada tahun 2009. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...