Monday, 24 January 2011

Berita Harian Online | KDN tetapkan 1 tahun had maksimum proses kewarganegaraan

KDN tetapkan 1 tahun had maksimum proses kewarganegaraan


2011/01/24
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini menetapkan tempoh maksimum satu tahun untuk memproses dan mengeluarkan keputusan berhubung permohonan kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebelum ini, tiada sebarang tempoh ditetapkan di antara permohonan rasmi dibuat sehingga keputusan permohonan itu dikeluarkan.
 
"Kalau dulu penetapan tempoh maksimum pemprosesan permohonan kewarganegaraan tidak wujud tetapi sekarang kita hendak jadikan (tempoh satu tahun sebagai) penanda aras.
 
"Kita hendak memastikan bahawa orang ramai boleh mengetahui sama ada permohonan itu lulus atau tidak...layak atau tidak dalam masa setahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Dalam Negeri tahun 2009 dan 2010 bagi permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia, permit masuk dan daftar lewat kelahiran, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata inisiatif yang dilaksanakan itu ialah untuk mempercepatkan proses membuat keputusan bagi mengelakkan tertangguh tanpa sebarang keputusan untuk tempoh yang tidak munasabah.

Sebelum ini, beliau berkata ada permohonan berkenaan mengambil masa yang lama sehingga berpuluh tahun sebelum keputusan dikeluarkan.
"Perlu diingat juga, inisiatif ini digerakkan tanpa sebarang kompromi terhadap aspek keselamatan dan syarat-syarat asas yang terkandung dalam undang-undang negara," katanya.

Sementara itu, berucap pada majlis tersebut, Hishammuddin berkata dalam tempoh dua tahun lalu, KDN berjaya memproses sebanyak 219,485 permohonan yang meliputi 62,604 permohonan kewarganegaraan, permohonan dan rayuan permit masuk (18,162) dan 138,719 permohonan daftar lewat kelahiran.

Katanya kini semua permohonan yang sedang diproses oleh KDN bagi ketiga-tiga perkara itu adalah permohonan yang diterima bagi tahun semasa dan tiada sebarang kes tertunggak.

Beliau berkata pada tahun ini, KDN mensasarkan untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 10 inisiatif di bawah agenda nilai tambah KPI kementerian berkenaan.

Katanya antara inisiatif tersebut ialah wanita bertaraf warganegara yang berkahwin dengan lelaki warga asing boleh memohon kewarganegaraan bagi anak yang dilahirkan di luar negara di Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara, di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut peruntukan sedia ada, taraf kewarganegaraan Malaysia hanya diberikan kepada anak yang dilahirkan di luar negara kepada bapa yang bertaraf warganegara Malaysia. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...