Wednesday, 19 January 2011

Berita Harian Online | Ekonomi Malaysia berkembang tujuh peratus

Ekonomi Malaysia berkembang tujuh peratus


2011/01/18
EKONOMI Malaysia dianggarkan berkembang kira-kira tujuh peratus tahun lalu, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata, sementara sektor luaran mungkin dipengaruhi pertumbuhan global yang lebih perlahan, momentum pertumbuhan permintaan tempatan dijangkakan akan berterusan tahun ini, didorong oleh perkembangan kukuh aktiviti sektor swasta.

“Paling menggalakkan ialah pelaburan swasta dijangka mengukuh dan menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan itu,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam menyambut peserta Mesyuarat Eksekutif Institut Kestabilan Kewangan Bank-Bank Pusat Asia Pasifik Timur di Kuala Lumpur.

Di sebalik ketidaktentuan yang berterusan, Zeti berkata, Asia dijangka terus menerajui pertumbuhan global, disokong oleh asas makroekonomi yang kukuh dan sistem kewangan yang teguh.

Katanya, pemulihan aktiviti ekonomi sektor swasta adalah faktor penting dalam mengekalkan prospek pertumbuhan yang kukuh di Asia.

“Kita kini memasuki tahun kedua pemulihan global. Pemulihan pada 2010 pada umumnya didorong oleh prestasi cemerlang ekonomi baru muncul, terutama di Asia,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan dijangka kekal kukuh tahun ini, walaupun pada kadar yang sederhana berbanding tahun lalu.
"Di sebalik prospek pertumbuhan yang sihat, Asia bagaimanapun perlu menangani kesan perkembangan antarabangsa berikutan keterbukaan ekonomi dan kewangannya yang tinggi," kata beliau.

Zeti berkata, perhatian global kini bertumpu kepada keadaan kewangan beberapa ekonomi maju, perkembangannya dalam perubahan kewangan dan langkah monetari dan kewangan yang dilaksanakan dalam ekonomi yang terjejas oleh krisis.

"Cabaran utama bagi kebanyakan ekonomi baru muncul pada 2011 adalah pengurusan aliran modal yang amat bergolak.

"Pertumbuhan kukuh Asia telah dan akan terus menarik peningkatan tinggi dalam kecairan global dalam bentuk aliran masuk modal ke rantau ini," katanya.

Beliau berkata, ini memerlukan lebih perhatian oleh pembuat dasar di rantau ini. "Beberapa ekonomi global telah melaksanakan langkah mengekalkan kestabilan makroekonomi dan kewangan,"
katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...