Tuesday, 28 December 2010

Berita Harian Online | Usaha perketat kawalan internet

2010/12/19

image

ASSANGE mengulas kesnya kepada media di Ellingham Hall, timur England, semalam.
Anggota PBB buat syor kes WikiLeaks

NEW YORK: Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan pembentukan sebuah badan kerja antara kerajaan bagi menyelaras usaha global mengawal internet khususnya berkaitan dengan langkah menghadapi cabaran tertentu termasuk WikiLeaks.
Langkah itu mendapat sokongan beberapa negara termasuk India, Afrika Selatan, China, Arab Saudi dan Brazil.
Anehnya, Australia, Amerika Syarikat, Britain, Belgium dan Kanada serta wakil perniagaan serta masyarakat menganggapnya berisiko menyebabkan badan baru itu bergerak sendirian.
Perbahasan mengenai penubuhan badan baru itu adalah berasaskan resolusi 2010/2 pada 19 Julai lalu di Majlis Sosial dan Ekonomi PBB.
Resolusi itu menjemput Setiausaha Agung PBB ‘mengadakan mesyuarat terbuka membabitkan semua negara anggota bagi membantu proses mempertingkat kerjasama membolehkan kerajaan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab berkaitan dasar awam antarabangsa mengenai internet, bukan isu operasi dan teknikal isu berkenaan.’
Sebahagian besar perbahasan tertumpu kepada peningkatan kerjasama dan sama ada badan baru itu perlu diwujudkan. Dalam mesyuarat di sini, mereka juga membincangkan fungsi organisasi yang sedia ada.
Sementara itu, pengasas WikiLeaks, Julian Assange, percaya Amerika berkemungkinan besar cuba mengekstradisinya atas tuduhan berkaitan kabel diplomatik yang dibocorkan.
Bercakap di luar Ellingham Hall kelmarin, iaitu sebuah rumah agam rakannya di timur England, tempat tinggalnya ketika berada dalam jaminan, Assange mengaku bimbang dengan tindakan yang mungkin diambil oleh Amerika.
“Risiko besar yang dibimbangi adalah ekstradisi ke Amerika. Ia semakin serius dan mungkin besar berlaku,” katanya kepada pemberita. Pengasas laman web pembocor maklumat rahsia berusia 39 tahun itu sedang berusaha untuk mengelak diekstradisi ke Sweden selepas dia dikehendaki untuk soal siasat mengenai dakwaan mencabul dua wanita, tuduhan yang dinafikannya.
Assange berkata, peguamnya percaya juri Amerika sudah memulakan siasatan mengenai peranannya dalam pendedahan beribu-ribu kabel diplomatik oleh WikiLeaks, sesuatu yang disifatkannya sebagai tidak sah. - Agensi

INFO

Pendedahan terbaru WikiLeaks

Presiden Sudan, Omar Hassan al-Bashir, dituduh menyimpan wang AS$9 bilion (RM27 bilion) di luar negaranya. Sudan menafikannya kerana mustahil melakukannya disebabkan sekatan ke atas negara itu. Bagaimanapun, Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Luis Moreno-Ocampo, berkata beliau sudah memulakan siasatan.

Presiden Eritrea, Isaias Afewerki bimbang Amerika akan cuba membunuhnya dengan melancarkan peluru berpandu ke kediamannya. Kabel kedutaan Amerika di Addis Ababa menyatakan pada 15 Disember bahawa bekas duta Amerika ke nmegara itu, Ronald McMullen menulis, Isaias juga percaya Perdana Menteri Habsyah, Meles Zenawi cuba membunuhnya, 14 tahun lalu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...