Friday, 24 December 2010

Berita Harian Online | 'Pentadbiran kita cekap'

'Pentadbiran kita cekap'
Oleh Amirullah Andi Nur

2010/12/16
Pemimpin parti pemerintah berwibawa: Najib

ALOR GAJAH: Datuk Seri Najib Razak menegaskan Malaysia bukan sebuah negara yang ditadbir oleh ahli politik yang tidak cekap, sebaliknya pemimpin negara ini adalah daripada parti pemerintah yang berwibawa.

Penegasan itu dibuat Perdana Menteri dalam ucapannya pada perasmian kilang AUO Sunpower Corporation Sdn Bhd di kawasan perindustrian Rembia di sini, semalam, beberapa hari selepas laman web antarabangsa, WikiLeaks mendedahkan kenyataan diplomat Singapura terhadap pemimpin Malaysia yang didakwa tidak cekap.

Tanpa merujuk pendedahan WikiLeaks, Najib memberi jaminan negara ini sesuai untuk membuat pelaburan kerana ditadbir oleh ahli politik yang sangat cekap dan mampu membentuk kerjasama yang baik dengan pelabur.
“Saya ingin memberi jaminan kepada anda di sini (pelabur luar), Malaysia bukanlah sebuah negara yang ditadbir ahli politik yang tidak cekap, sebaliknya ditadbir oleh ahli politik yang sangat, sangat cekap,” katanya.

Perdana Menteri turut memberi jaminan kerajaan Persekutuan akan terus memberi sokongan kepada pelabur yang berminat melabur di negara ini.

“Misalnya, bagi penubuhan kilang itu di sini, ia menjadi kenyataan sebab kerajaan yang memerintah adalah dari parti yang sama,” katanya pada majlis yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Pengerusi AU Optronics, K Y Lee dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunpower Corporation, Tom Werner.

Kilang AUO SunPower dibangunkan secara usaha sama antara SunPower Corporation dari Amerika Syarikat dengan AU Optronics dari Taiwan dengan kos RM3.72 bilion di tapak seluas 51.2 hektar.
Ia dibangunkan dalam dua fasa dengan setiap satu bernilai RM1.8 bilion. Fasa pertama, berjaya disiapkan dalam tempoh sembilan bulan, manakala kedua dalam tempoh setahun akan datang. Apabila beroperasi sepenuhnya pada 2013, ia akan menjadi kilang pengeluar sel solar terbesar di dunia.

Najib berkata, pembukaan kilang itu bukan saja membabitkan perkongsian kerjasama antara AUO dan SunPower Corporation, malah penyertaan kerajaan Pusat dan negeri.

“Tanpa kerjasama itu, penubuhan kilang itu tidak akan menjadi kenyataan,” katanya sambil menambah pembukaan kilang berkenaan akan memberi impak yang signifikan bukan saja kepada pembangunan di kawasan Rembia, malah seluruh negeri ini.

Katanya, kilang berkenaan juga berpotensi menjadi pemangkin menarik minat lebih banyak pelabur luar untuk membuka industri mereka di sini, khususnya berkaitan pengeluar komponen dan produk tenaga boleh diperbaharui.

"Kilang ini sudah memulakan operasinya dengan mengambil kira-kira 1,200 pekerja termasuk 200 jurutera. Selepas ini, apabila fasa kedua projek berjaya disiapkan dan beroperasi sepenuhnya ia akan mengambil sehingga keseluruhan 4,000 tenaga kerja," katanya.

Najib turut memuji sokongan diberikan Abdullah ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini dalam membantu merealisasikan penubuhan kilang itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...