Wednesday, 3 November 2010

Utusan Malaysia Online - Berita Utama


AS sokong gagasan Najib


Muhyiddin Yassin menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara Malaysia yang diwakili oleh Anifah Aman dengan Kerajaan Amerika Syarikat yang diwakili Hillary Clinton di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - Bernama


PUTRAJAYA 2 Nov. - Amerika Syarikat (AS) menyambut baik gagasan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mewujudkan Gerakan Global Ke Arah Kesederhanaan dalam usaha mendokong agenda keamanan sekali gus menghapuskan ektremisme.
Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton berkata, pihaknya menyokong saranan tersebut dan mahu para pemimpin antarabangsa yang lain turut mendokong agenda kesederhanaan dalam membendung ekstremisme.
''Kita tahu golongan esktremis wujud dalam semua agama dan sejarah telah membuktikannya tetapi malangnya ia berulang dari semasa ke semasa.
''Ekstremis tidak boleh membina kemakmuran, keamanan dan kestabilan serta demokrasi sebaliknya hanya menggalakkan konflik, jadi kita menyambut baik saranan Perdana Menteri.
''Dan saya bersungguh-sungguh menyokong dan berharap pemimpin antarabangsa lain turut menyokong bagi mengadakan dialog," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Wisma Putra di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay dan Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.
Terdahulu, Hillary menghadiri majlis makan tengah hari dihoskan oleh Anifah diikuti mesyuarat yang disifatkan oleh mereka sebagai produktif membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Ke-65 pada September lalu mengetengahkan pandangannya kepada masyarakat dunia agar mewujudkan Gerakan Global Ke Arah Kesederhanaan bagi membina dunia yang lebih aman, selamat dan adil.
Menurut Najib, langkah itu akan menyelamatkan masyarakat antarabangsa daripada terjerumus ke dalam jurang kehancuran dan kedurjanaan.
Pada sidang akhbar bersama Anifah itu, Hillary turut berharap agar Perdana Menteri cepat sembuh daripada demam campak yang dialami sebaik sahaja pulang dari Sidang Kemuncak ASEAN di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.
''Saya tidak dapat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri namun saya telah menghubungi beliau melalui panggilan telefon awal hari ini dan menyatakan harapan agar beliau cepat sembuh," katanya.
Dalam pada itu, Hillary berkata, AS komited untuk mengukuhkan jalinan hubungan dengan Malaysia yang mempunyai banyak persamaan nilai dari segi kepelbagaian agama dan toleransi termasuk yang lebih penting hubungan dagang dan pelaburan.
''Sejak dari hari pertama pentadbiran (Presiden AS, Barack) Obama, saya telah meletakkan keutamaan untuk menjalin hubungan dengan rantau Asia Pasifik. Kita tahu bahawa banyak sejarah abad ke-21 akan kembali ke rantau ini kerana banyak peluang dan cabaran besar kepada dunia.
''Kita tahu Malaysia merupakan pemimpin di rantau ini dan sebagaimana yang saya katakan dalam ucapan di Institut Antarabangsa untuk Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) bahawa Malaysia merupakan pemimpin pemikiran dan model kepada masyarakat global," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...