Wednesday, 3 November 2010

Berita Harian Online | Peniaga perlu berpandu syariat mantapkan ummah, perniagaan

2010/11/02
ISLAM sejak awal lagi mengiktiraf peranan penting dimainkan sektor swasta dalam memaju ekonomi negara. Pengiktirafan Islam ini menuntut budaya korporat dan strategi perniagaan sektor swasta menepati semangat agama.

Dalam usaha memantapkan budaya korporat sektor swasta, pendekatan unggul seperti keuntungan melalui tanggungjawab sosial jika dihayati dengan tepat akan membawa hasil positif bukan saja kepada prestasi perniagaan tetapi sekali gus membangun keadilan sosioekonomi dan masyarakat.

Pendekatan ini menganjurkan keharmonian antara kepentingan perniagaan, golongan peniaga serta tanggungjawab mereka kepada masyarakat. Pendekatan ini adalah asas penting kepada penyusunan dan pembinaan masyarakat bernegara.
Prinsip hidup berharmoni ini menjelaskan kepentingan golongan peniaga melaksanakan tanggungjawab kepada kebajikan masyarakat. Islam mengiktiraf keuntungan dari usaha perniagaan dan perdagangan kepada peniaga adalah sesuatu hukum yang tabii serta adil.

Mengakui hukum pulangan sebagai sesuatu yang penting untuk memberangsang golongan peniaga semoga halus dan rapi dalam menjalankan perniagaan. Keuntungan akan diperoleh apabila jumlah pendapatan mengatasi jumlah kos.

Jika diurus dan dilaksana secara positif, jumlah hasil mampu ditingkatkan melalui kuantiti jualan produk. Dalam dunia tidak berbatas, jumlah jualan tidak terhad, yang membatasi ialah persaingan sengit dari pengusaha dan peniaga dalam serta luar negara.

Ruang mengembangkan kuantiti jualan luas terbentang dan kejayaan menembusi pasaran antarabangsa mencermin kemampuan pengusaha menguasai pasaran produk. Dalam konteks pencapaian kejayaan berterusan, strategi menguasai pasaran perlu menjadi strategi perniagaan.
Pencapaian kepada matlamat ini memerlukan organisasi melakukan kajian dan penyelidikan dinamik supaya kualiti penghasilan produk meningkat dan produk dihasilkan sentiasa relevan dengan keperluan serta kebajikan pengguna.

Usaha positif ini memerlukan kepada akhlak kepemimpinan organisasi swasta demi kepentingan bersama peniaga dan pengguna. Harga yang berpatutan juga akan dapat meluaskan faedah kegunaan produk kepada pengguna berpendapatan rendah.

Melalui perancangan dan kepakaran yang tinggi serta sentiasa menanamkan sikap untuk meningkat kecekapan, mengurangkan pembaziran, nescaya usaha itu akan menghasilkan penurunan kos.

Jika nilai akhlak Islam disepadukan dalam pengawalan kos, kos sosial tidak langsung seperti keruntuhan akhlak pekerja dan pencemaran kepada alam persekitaran akan turut sama diberi perhatian.

Kos sosial ini adalah faktor negatif yang turut menjejas kemajuan prestasi organisasi dalam jangka masa panjang. Tanpa akhlak pekerja yang tinggi serta alam persekitaran sihat, prestasi sektor swasta akan menurun dalam jangka panjang, meruntuhkan kestabilan dan kebajikan masyarakat.

Kejayaan mengurangkan kos oleh sektor swasta mengikut perspektif di atas adalah kejayaan yang memaparkan tahap kepakaran pengendalian perniagaan sudah dapat ditingkatkan.

Jelaslah keuntungan melalui pendekatan berakhlak adalah pendekatan dinamik tanda sifat tanggungjawab tinggi dihayati sektor swasta dalam kegiatan perniagaan mereka. Pendekatan ini menjadi budaya organisasi korporat berjaya pada masa ini yang beroperasi secara global.

Pendekatan keuntungan melalui tanggungjawab sosial jika dihayati akan menghasilkan budaya korporat yang sihat, mampu memperoleh kejayaan sektor swasta sekali gus membangunkan taraf dan mutu hidup masyarakat.


Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...