Wednesday, 3 November 2010

Berita Harian Online | Peguam Syarie Menulis: Akhlak dalam Islam pendidikan seks paling sempurna

Peguam Syarie Menulis: Akhlak dalam Islam pendidikan seks paling sempurna
Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com
2010/11/03
Adab pergaulan, batas aurat antara perkara asas boleh hindari seks bebas di kalangan remaja

KISAH rakaman seks yang tersebar meluas di internet adalah fenomena membimbangkan kerana zina dilakukan sewenang-wenangnya. Alasan rakaman untuk simpanan peribadi bukan alasan yang boleh diterima kerana perbuatan itu sendiri menyalahi syariat agama.

Bagaimana jika rakaman terlepas ke tangan pihak tidak bertanggungjawab seperti kerap dilaporkan sekarang ini. Malah, lebih menakutkan apabila rakaman seks mula disebarkan melalui telefon bimbit dan menjadi tatapan umum.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” – (Surah al-Isra’, ayat 32)

Melihat kepada situasi ini, sudah tiba masanya pendidikan seksual di sekolah dan universiti yang suatu masa dulu dibincangkan secara hangat dipertimbangkan semula supaya dapat dilaksanakan menurut acuan pendidikan Islam.

Menurut perspektif Islam, pendidikan mempunyai pengertian dan konsep yang luas, syumul serta mempunyai kedudukan yang tinggi.

Pendidikan seks di negara Barat menitikberatkan perilaku seks sihat, tetapi tidak mendidik anak supaya menghindari seks bebas sehingga tidak dapat mengurangi timbulnya penyakit kelamin dan kehamilan luar nikah.
Pendidikan seks menurut Islam adalah pengajaran dan penerapan mengenai masalah seksual dalam usaha menjaga anak daripada kebiasaan yang tidak Islamik serta menutup segala kemungkinan ke arah hubungan seksual terlarang (zina).

Pendidikan seks sebenarnya bermula ketika anak mulai bertanya mengenai seks. Sejak kecil, anak perlu dididik dengan contoh teladan, kebiasaan akhlak yang baik, penghargaan terhadap anggota tubuh, menanamkan rasa malu apabila aurat terlihat orang lain ataupun malu melihat aurat orang lain.

Sejak seusia 10 tahun, anak lelaki dan perempuan perlu dipisahkan tempat tidur. Mereka juga perlu diajar mengetuk pintu dan meminta izin ibu bapa ketika hendak masuk ke bilik tidur ibu bapa terutama dalam tiga waktu iaitu sebelum solat Subuh, selepas Zuhur dan setelah waktu Isyak.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dalam kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa itu, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-Nya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nur, ayat 58-59)

Pada usia menjejak umur mumayyiz (7 hingga 10 tahun), anak perlu diajar mengenali organ biologi mereka serta perbezaan antara lelaki dan perempuan, membantu mereka memahami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di depan khalayak.

Anak juga harus tahu bahawa ada bahagian daripada tubuhnya yang tidak boleh dilihat orang lain apalagi menyentuhnya. Selain itu mereka juga perlu dijelaskan mengenai tumbesaran tubuh serta fungsi anggota tubuh dalam bahasa mudah difahami. Contohnya, usia baligh apabila perempuan kedatangan haid dan anak lelaki mengalami mimpi basah.

Pada usia mencecah baligh (10 hingga 16 tahun), anak harus diberi penjelasan mengenai fungsi biologi secara ilmiah, batas aurat, kesopanan, akhlak pergaulan lelaki dengan perempuan dan menjaga kesopanan serta harga diri.

Pada peringkat ini, anak perlu dijauhkan daripada pelbagai rangsangan seksual, seperti buku porno, bahan lucah, rancangan televisyen atau internet yang berunsurkan seks.

Ibu bapa sebagai orang yang paling dekat dengan anak perlu sentiasa menjaga dan memerhati perlakuan anak mereka di rumah mahupun luar, selain sentiasa mengingatkan mereka larangan mendekati zina.

Kurikulum pendidikan seks yang ingin diajar perlu tertakluk kepada nilai akhlak dan etika ditetapkan Islam melalui perbincangan munakahat yang merangkumi peraturan dan hukum hakam serta perkara berkaitan hubungan lelaki dan wanita.

Dalam konteks masyarakat kita, mengambil kira kepelbagaian kaum dan agama, adalah lebih baik dan munasabah jika pendidikan munakahat diperkemaskan dengan memasukkan elemen baru berkait masalah berlaku hari ini untuk disesuaikan dengan kepelbagaian kaum.

Walaupun Islam dijadikan sebagai garis panduan, namun sayugia dinyatakan bahawa dalam agama lain juga tidak membenarkan atau menghalalkan perlakuan zina sebelum berkahwin.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel sekretariatpgsm@yahoo.com

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...