Wednesday, 10 November 2010

Berita Harian Online | MB Selangor sokong projek menara 100 tingkat


MB Selangor sokong projek menara 100 tingkat


2010/11/09

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata semua pihak harus menerima baik pelbagai projek yang diumumkan Kerajaan Pusat yang dikenal pasti berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia, termasuk cadangan pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat.

Bagaimanapun, katanya, semua projek itu perlu dibahaskan terlebih dulu bagi membincangkan sama ada ia benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan atau di sekitarnya.
"Kita setuju dengan cadangan Greater Kuala Lumpur (Greater KL) sebagai satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) kerana ia dilihat mampu memacu pertumbuhan nasional.

"Namun, bagi pembinaan menara 100 tingkat ini (Menara Warisan Merdeka), kita beranggapan perlu ada satu perdebatan mengenai keperluan pembinaannya kepada ekonomi negara dan manfaatnya kepada rakyat pada masa depan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2011, baru-baru ini mengumumkan pembinaan satu lagi mercu tanda di ibu negara, dinamakan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat, lebih tinggi daripada bangunan tertinggi di Malaysia, iaitu Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat.

Katanya, projek bersepadu bernilai RM5 bilion yang dibina bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara akan dilaksanakan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Najib menegaskan cadangan membina Menara Warisan di ibu negara, bukan projek pembaziran, sebaliknya mendatangkan keuntungan kepada rakyat dan negara.
Perdana Menteri juga menjelaskan menara 100 tingkat itu dirancang dan dicadangkan PNB kepada kerajaan.

Mengulas lanjut, Abdul khalid berkata, PNB perlu mendedahkan fakta dan angka yang jelas kepada rakyat mengenai pembinaan menara berkenaan.

"PNB harus kemukakan fakta dan kajian meliputi kadar sewaan, pulangan serta pasaran yang akan diperoleh daripada ruang pejabat," katanya.

Berita Harian Online | MB Selangor sokong projek menara 100 tingkat

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...