Wednesday, 10 November 2010

Berita Harian Online | Generasi muda perlu terap budaya tulis surat: Rais

Generasi muda perlu terap budaya tulis surat: Rais


2010/11/09
KUALA LUMPUR: Penulisan surat perlu terus dipopularkan khususnya di kalangan golongan generasi muda bagi menjamin kesinambungan pembudayaan bahasa Melayu yang betul dan cetusan idea bernas, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, generasi muda golongan yang sentiasa mempunyai cetusan idea baru, tetapi mereka lebih gemar menghantar mesej ringkas menerusi SMS.

Beliau berkata, sikap suka menghantar SMS ini perlu diterjemahkan dalam bentuk penulisan lebih panjang bagi memastikan mereka dapat menggunakan bahasa dengan lebih baik, selain dapat menyampaikan idea baru.
“Kemampuan generasi muda mencetuskan idea baru dapat dibuktikan menerusi pertandingan menulis surat kepada Perdana Menteri, apabila pelajar berfikiran bernas berjaya mencurahkan pelbagai sentimen mengenai perpaduan kaum di negara ini.

“Selain itu, dengan cara ini, penulis berjaya mempopularkan penggunaan bahasa kebangsaan dengan penggunaan aliran bahasa yang baik dan ekspresi idea yang bernas dalam penulisan mereka,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan menulis surat kepada Perdana Menteri anjuran Pos Malaysia Berhad, di sini semalam.

Bagi memastikan masyarakat dapat menghayati idea penulis surat berkenaan, Rais mencadangkan semua surat itu dibukukan dan diedarkan kepada pembaca.

“Kandungan semua surat berkenaan bukan saja menceritakan harapan penulis, tetapi turut mengandungi elemen humor mencuit hati, malah semua surat itu akan dikemukakan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat Kabinet akan datang,” katanya.
Pertandingan yang dianjurkan bersama Pos Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pelajaran itu dilancarkan Perdana Menteri pada 29 Disember lalu dan terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

Sebanyak 118,598 penyertaan termasuk 38,478 dari sekolah rendah dan 80,120 sekolah menengah diterima pada tarikh tutup pertandingan pada 19 Mac lalu.

Nor Malissa Farhana Ibrahim, 12, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat, Batu Pahat, Johor, memenangi hadiah pertama bagi kategori sekolah rendah dan Muhammad Nur Adzam Mohamed Sapri, 15, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping, Perak memenangi kategori sekolah menengah.

Nor Malissa menerima hadiah wang tunai RM3,000, sebuah komputer riba, sijil penyertaan, kamus, baucar buku dan buku setem berserta akaun setem berjumlah RM50, manakala Muhammad Nur Adzam memenangi wang tunai RM4,000, sebuah komputer riba, sijil penyertaan, kamus, baucar buku dan buku setem berserta akaun setem
berjumlah RM50. – BERNAMA

Berita Harian Online | Generasi muda perlu terap budaya tulis surat: Rais

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...