Monday, 15 November 2010

Berita Harian Online | Gaji minimum swasta diselaras Jun

Gaji minimum swasta diselaras Jun
Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
2010/10/17
Kerajaan teliti kaedah sesuai pelaksanaan selepas penubuhan majlis khas

SUNGAI PETANI: Penyelarasan gaji minimum sektor swasta akan dimulakan pada Jun atau Julai 2011 selepas kerajaan meneliti kaedah sesuai pelaksanaannya menerusi penubuhan Majlis Penetapan Gaji Kebangsaan (MPGK) yang bakal dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata had minimum gaji kakitangan swasta akan diputuskan selepas mendapat kelulusan Kabinet dan akan dibincangkan secara terperinci dari segi kaedah dan kesesuaiannya.
“Kita akan tubuhkan Majlis Penetapan Gaji Kebangsaan. Namun sebelum itu, satu akta akan digubal dan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

“Kalau semua berjalan lancar, kita putuskan pelaksanaannya pada Jun atau Julai tahun depan,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Ketiga Universiti Aimst, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden MIC yang juga Canselor Aimst, Datuk Seri S Samy Vellu. Lebih 300 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing dalam bidang Sains, Perubatan dan Kejuruteraan.

Mengulas lanjut pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, Subramaniam berkata, kira-kira 83 peratus daripada 150,000 pengawal keselamatan akan mendapat manfaat.
Katanya, pelarasan gaji minimum bagi pengawal keselamatan antara RM500 hingga RM800 itu mampu memberi impak positif ke atas usaha kementerian bagi mengurangkan tahap kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor itu pada masa depan.

“Pelarasan ini mengikut empat kumpulan iaitu di kawasan A kenaikan gaji pokok kepada RM800 bagi Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Johor Selatan; kumpulan B kenaikan RM600 bagi negeri Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu, Sarawak dan Johor Utara. Bagi kumpulan C kenaikan RM550 bagi negeri Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan serta kumpulan D kenaikan RM500 bagi negeri, Kedah, Kelantan dan Perlis.

“Ini keputusan yang amat baik kepada sektor ini dan sangat membantu dalam meningkatkan pendapatan pengawal keselamatan yang sebelum ini bergaji rendah. Ia juga sekali gus menunjukkan kerajaan peka dan amat prihatin terhadap tuntutan sektor ini yang turut memainkan peranan dalam pembangunan negara,” katanya.

Berita Harian Online | Gaji minimum swasta diselaras Jun

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...