Wednesday, 3 November 2010

Berita Harian Online | Clinton kagum


Clinton kagum
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/11/03

Hillary Clinton
Hillary Clinton
Setiausaha Negara AS yakin KL peneraju pemikiran dunia Islam

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) yakin Malaysia mampu menjadi peneraju pemikiran dalam pelbagai bidang yang signifikan kepada dunia Islam dan global.
Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, berkata pencapaian Malaysia yang menunjukkan model holistik abad ke-21, mempunyai pengaruh tersendiri dan sering menjadi rujukan sebagai negara yang menggunakan pendekatan kreatif dalam menangani isu serta menyelesaikan masalah, termasuk aspek pemuliharaan alam sekitar dan melindungi spesies haiwan terancam.
“Malaysia dengan pertumbuhan ekonomi yang dinamik dan kedudukan geografi serta peranan umat Islam yang tidak memecah belah, memiliki peluang sebenar menjadi peneraju pemikiran dalam pelbagai bidang.

“Berdasarkan perbincangan dengan pegawai rasmi kerajaan negara dan pemerhatian saya, Malaysia dalam isu tertentu berpeluang menjadi kreatif, berfikir di luar kotak dan muncul untuk menangani masalah yang boleh menjadi perhatian dunia.

“Saya amat kagum dengan apa yang dilihat serta dengar (mengenai Malaysia) dan berharap hubungan serta kerjasama kedua-dua negara akan lebih kukuh dan luas,” katanya pada program Perbualan Bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), di sini semalam.

Dewan Istac padat dengan kehadiran kira-kira 500 jemputan khas termasuk pemimpin, pelajar institusi pengajian tinggi dan wakil NGO. Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Program soal jawab sejam dikendalikan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib, bersama dua pengacara TV3, iaitu Norzie Pa’ Wan Chik dan Ally Iskandar.

Clinton yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia, berkata Datuk Seri Najib Razak juga menonjol sebagai antara pemain utama di pentas antarabangsa dan berkesempatan berbual dengan Perdana Menteri yang sedang berehat kerana menghidap penyakit cacar semalam bagi membincangkan hubungan dua hala, perdagangan dan peranan Malaysia dalam isu global.

Beliau turut memuji sistem kewangan Islam oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang disifatkannya sebagai amat berpengaruh dan penting, selain peranan berkesan NGO di negara ini memperjuangkan hak wanita.

Clinton juga berkata, AS akan mempertingkat kerjasama pendidikan dengan Malaysia, termasuk mereka cipta program untuk memenuhi keperluan pelajar di negara ini, membantu pengajaran bahasa Inggeris di luar bandar serta pertukaran dalam bidang sains dan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan.

Sementara itu, beliau melahirkan sokongan terhadap pentadbiran Presiden Barack Obama, selain menegaskan AS komited membantu negara Islam yang dilanda bencana alam, bahkan menjadi penyalur bantuan kemanusiaan paling besar kepada Pakistan yang dilanda banjir terburuk.

Mengenai krisis Palestin-Israel, Clinton berkata, negaranya menyokong kewujudan Israel serta pembentukan negara Palestin, sekali gus mahu kemelut itu diselesaikan secara damai di meja perundingan.

“Salah satu sasaran saya ialah mencegah serta mengelakkan konflik antara Islam dan negara Barat. Saya amat komited terhadap usaha ini dan berpendapat kedua-dua pihak perlu lebih saling memahami serta menghormati,” katanya.

Berita Harian Online | Clinton kagum

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...