Tuesday, 5 October 2010

Berita Harian Online | Sarawak mahu hak autonomi ekonomi


Sarawak mahu hak autonomi ekonomi


2010/10/05


KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mahu Kerajaan Pusat memberikan autonomi ekonomi secukupnya kepada Sarawak. 

Hasrat itu kata beliau, sudah dinyatakan kepada Datuk Seri Najib Razak, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, baru-baru ini.
Katanya, ia perlu kerana Sarawak tidak sama dengan Semenanjung dari segi kadar pertumbuhan pembangunan dan tarikan pelabur.


“Kita tahu apa yang pelabur mahu dan mereka melabur berbilion ringgit. Kita boleh berbincang menggunakan kaedah terbaik dengan pelabur berkenaan,” katanya di perasmian Hari Terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) di Kuching, semalam. 

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pemandu, Datuk Seri Idris Jala. 

Abdul Taib berkata, beliau sudah menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa kebanyakan masalah pada peringkat Sarawak perlu diselesaikan peringkat negeri ini, bukan peringkat Pusat. 

Justeru, adalah perlu untuk Kerajaan Pusat memberikan autonomi ekonomi secukupnya kepada Sarawak supaya ia dapat memenuhi keperluan pelabur dari seluruh dunia. 
“Apa yang penting ialah kita mahu supaya lebih banyak industri masuk ke Sarawak secepat mungkin dan melabur sebanyak mungkin,” katanya. 

Beliau berkata, banyak syarikat besar telah menyatakan keinginan menjadikan Sarawak sebagai pengeluar bahan mentah yang diperlukan oleh China. 

“Dengan adanya tenaga hidro yang murah, syarikat terbabit menyatakan minat untuk membuka kilang di Sarawak,” katanya sambil menambah Sarawak menyasasar untuk mengeluar 6,000 megawatt (MW) tenaga hidro menjelang 2020. 

Abdul Taib berkata, selain empangan Bakun, tenaga hidro juga akan dijana dari empangan Murum, Baram, Balleh, Limbang dan Lawas, dengan tenaga hidro saja dijangka akan menjana enam peratus daripada ekonomi negara.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...